Home » Langit Terbuka » Buat Semakan Untuk Elak Was-Was Status Sah Haji – TH

Buat Semakan Untuk Elak Was-Was Status Sah Haji – TH

Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji Tengku Aziz Raja Abdullah berkata terdapat banyak kes apabila jemaah haji, terutamanya yang telah lama pulang ke tanah air, menghubungi pihak TH berikutan timbul perasaan was-was terhadap status haji mereka.

MAKKAH – Jemaah haji Malaysia digalakkan untuk membuat semakan dengan bahagian bimbingan Tabung Haji (TH) di sini sebelum pulang ke tanah air bagi mengelakkan mereka keliru dan was-was dengan status sah haji.

Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji Tengku Aziz Raja Abdullah berkata terdapat banyak kes apabila jemaah haji, terutamanya yang telah lama pulang ke tanah air, menghubungi pihak TH berikutan timbul perasaan was-was terhadap status haji mereka.

“Ilmu berkenaan haji yang berbeza diajar di surau-surau kawasan kediaman dengan yang diterapkan oleh TH menyebabkan terdapat jemaah keliru dan was-was dengan status sah haji mereka.

“Selepas dia balik ke tanah air, dia dengar ceramah di surau berhampiran rumahnya (berkenaan ibadat haji), dia teringat balik tentang ibadat yang dia lakukan sedangkan ia sudah lama berlaku. Kemungkinan masa dia lakukan ibadah itu, caranya betul,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Justeru, beliau menggalakkan para jemaah untuk membuat semakan dengan bahagian bimbingan TH terlebih dahulu setelah selesai ibadat-ibadat Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina, sebelum mereka pulang ke tanah air atau meninggalkan Makkah.

“Sekiranya pembimbing ibadah haji telah mengesahkan bahawa perjalanan ibadah haji jemaah itu sudah lengkap dan sempurna, maka peganglah ia sehinggalah kita meninggal dunia.

“Bahagian bimbingan di tanah suci ini merupakan penyambung bagi kursus-kursus yang telah dijalankan oleh pihak TH untuk jemaah haji semasa di tanah air, seperti kursus asas dan kursus intensif haji,” katanya.

Melalui kursus-kursus di tanah air, beliau berkata jemaah haji Malaysia sudah berjaya memantapkan pengetahuan mereka namun bahagian bimbingan akan memberikan kursus-kursus di sini yang bertujuan untuk memastikan jemaah tidak terlupa segala ilmu yang telah dipelajari.

“PIHTAS (Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci) merupakan penyambung lidah TH di sini untuk para jemaah yang masih ragu-ragu atau belum yakin sepenuhnya tentang bagaimana untuk mengerjakan ibadah haji.

“Tidak ada guna jika jemaah haji datang ke tanah suci, walaupun menggunakan pakej-pakej yang mahal dan duduk di hotel-hotel yang mewah sekiranya ibadah haji mereka tidak sah, sedangkan matlamat mereka ke sini adalah untuk mencari haji yang mabrur,” katanya.

Menurut Tengku Aziz, pasukan PIHTAS telah didedahkan mengenai tajuk-tajuk yang perlu diberi penerangan kepada jemaah haji semasa mereka berada di tanah suci.

Sebagai khidmat sokongan untuk para jemaah di sini, bahagian bimbingan juga telah wujudkan satu talian ibadah haji (TAIB) untuk jemaah haji bertanya tentang permasalahan hukum walau di mana mereka berada semasa di tanah suci.

“Para jemaah boleh menghubungi kami di talian 01-25706161 dan pembimbing kita akan terus menjawab persoalan yang diajukan supaya mereka yakin dengan permasalahan yang dihadapi tanpa perlu balik ke maktab dan berjumpa dengan bahagian bimbingan,” katanya.

Beliau berkata talian TAIB telah mula dilaksanakan tujuh tahun lepas dan beroperasi 24 jam bermula dua minggu sebelum wukuf sehingga dua minggu selepas wukuf.

“Antara soalan-soalan yang paling kerap ditanya adalah permasalahan berkaitan haid, tawaf, dam dan larangan dalam ihram. Bagaimanapun, majoriti daripada jemaah yang bertanya mengenai permasalahan ini adalah berbentuk bagi pengesahan sahaja,” katanya.

Beliau turut menggalakkan para jemaah bertanya kepada pihak PIHTAS atau melalui talian TAIB sekiranya terdapat kemuyskilan tentang hukum dalam menjalankan ibadat, terutama bagi jemaah yang berusia bagi mengelakkan kesilapan-kesilapan yang boleh mencacatkan ibadah mereka. – BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1485089

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *