Home » Langit Terbuka » Bukit Aman tahan 7 suspek pengganas

Bukit Aman tahan 7 suspek pengganas

Ketua Polis Negara berkata, semua suspek ditahan oleh Bahagian Menentang Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi antara 19 hingga 28 November lalu di Kelantan, Selangor, Sabah dan Kedah - Foto Hiasan , Bernamanews

BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap tujuh suspek, termasuk lima warga tempatan kerana disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek berkenaan ditahan oleh Bahagian Menentang Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi antara 19 hingga 28 November lalu di Kelantan, Selangor, Sabah dan Kedah.

Dalam satu kenyataan, Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama dibuat pada 19 November di Kelantan membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 28 tahun.

Katanya, suspek yang juga peniaga madu telah menerima arahan daripada pengganas Daesh warga Malaysia di Syria, Akel Zainal untuk melancarkan serangan di negara ini.

“Tangkapan kedua pada 20 November 2018 di Kajang, Selangor membabitkan warga tempatan berusia 52 tahun dan bekerja sebagai jurutera di sebuat syarikat oil & gas.

“Suspek terbabit dalam menyalurkan dana berjumlah lebih kurang RM14,000 kepada Muhammad Wanndy bin Mohamed Jedi pada tahun 2016 dan 2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, hasil kerjasama dengan pihak Esscom, polis turut menahan seorang lelaki warga Filipina pada 21 November di Tawau, Sabah.

Beliau berkata, suspek adalah anggota kumpulan militan Abu Sayyaf Group (ASG) yang terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga siri penculikan di selatan Filipina dan Sabah.

“Tangkapan keempat di Kota Bharu, Kelantan membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun dan bekerja sebagai kakitangan sekolah memandu.

“Suspek disyaki menerima arahan daripada anggota kanan kumpulan Daesh untuk melancarkan serangan ke atas orang-orang bukan Islam dan tempat ibadat orang bukan Islam di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menahan seorang lelaki warga tempatan di Kedah kerana terbabit dalam menyalurkan dana kepada sel Jamaah Ansharut Daulah (JAD)- sebuah kumpulan pengganas pro-Daesh di Indonesia.

“Tangkapan keenam dan ketujuh di Tenom, Sabah membabitkan sepasang suami isteri masing-masing berusia 48 tahun dan 40 tahun.

“Suspek lelaki adalah warga Filipina dan isterinya, warganegara Malaysia yang terbabit dalam menyembunyikan maklumat mengenai kehadiran anggota kumpulan ASG di Sabah,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – Ismaweb

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *