Home » Langit Terbuka » Pihak industri diminta beri peluang kepada pelajar tahfiz

Pihak industri diminta beri peluang kepada pelajar tahfiz

Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pembabitan pelajar tahfiz dalam bidang industri penting untuk melahirkan pelajar tahfiz yang bukan saja berkebolehan dalam keagamaan malah berkemahiran - Foto US Daily

TANAH MERAH – Kementerian Sumber Manusia berharap pihak industri memberi peluang kepada pelajar tahfiz untuk turut terbabit dalam bidang itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar, berkata kerjasama ini penting untuk melahirkan pelajar tahfiz yang bukan saja berkebolehan dalam keagamaan malah berkemahiran.

Katanya, kolej kemahiran bertauliah juga boleh menyediakan tempat kepada mereka untuk memenuhi kehendak industri.

“Saya harap pihak tahfiz akan buat kerjasama dengan pihak industri dan kolej kemahiran bertauliah untuk membantu pelajar tahfiz ini.

“Pagi mungkin pelajar ini boleh berada pusat tahfiz untuk menghafal al-Quran dan pada sebelah petang mereka boleh dihantar di kolej bertauliah untuk mendalami ilmu kemahiran.

“Di masa hadapan, pelajar ini mampu memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan tahfiz, ini peluang untuk melihat mereka berada dalam industri pasaran pekerjaan,” katanya ketika sidang media di sini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Penerima Zakat Wakalah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Dalam program itu, sebanyak RM32,550 di bawah Skim Bantuan Kewangan Bulanan Skim Bantuan Membeli Motosikal Roda Tiga, Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi dan Bantuan Am Agensi Kebajikan diserahkan kepada penerima di sekitar daerah ini.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Razali Kassim dan Pengurud Besar (Pengurusan) Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Mohd Fathullah Mustafa.

Mengulas lanjut, sebuah syarikat membekalkan komponen kapal terbang di Melaka sudah mengaplikasi perkara itu dengan menyediakan ruang kepada pelajar tahfiz.

“Syarat yang ditetapkan adalah mereka mesti mampu menghafal 10 juzuk al-Quran. Pelajar ini diambil sebagai pekerja sebelum dihantar latihan di kolej kemahiran bertauliah.

“Pemilik syarikat ini memberi maklum balas positif apabila melihat pelajar tahfiz ini sebagai anak baik yang mempunyai ketekunan dalam menjalankan tugas,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *