SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap program mempromosikan lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) yang dianjurkan baru-baru ini.
Sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta berpegang kepada nilai budaya Timur yang luhur, beliau menegaskan, sebarang usaha menormalisasikan gaya hidup songsang adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan.
“Saya memandang serius laporan berkenaan penganjuran program bertemakan Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness yang didakwa bertujuan meraikan Pride Month, seperti yang tular melalui platform media sosial baru-baru ini.
“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan Malaysia menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ secara halus atau terbuka.
“Tindakan penganjuran program sebegini walaupun bersifat tertutup, jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu Mohd Na’im turut menggesa penganjur menghentikan sebarang aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara dan nilai moral masyarakat.
Justeru beliau mahu semua agensi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri bersedia memainkan peranan penguatkuasaan khususnya jika melibatkan penyertaan umat Islam.
“Pada masa sama, saya menyeru kepada semua pihak untuk bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak serta keharmonian negara.
“Kerajaan Madani akan terus menjunjung prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara demi memelihara agama, akhlak dan maruah umat.
“Budaya songsang tidak akan pernah menjadi norma di bumi Malaysia,” tegasnya.
KOMEN