Home » Citra Yadim » Cadangan kerjasama penerbitan Super Telemovie berunsurkan dakwah

Cadangan kerjasama penerbitan Super Telemovie berunsurkan dakwah

PUTRAJAYA – Cabaran berdakwah yang semakin sukar dan pelbagai memerlukan pendakwah itu sendiri meningkatkan keupayaan dan mempelbagaikan usaha dakwahnya.

Memandangkan elemen hiburan lebih digemari dan mudah diterima masyarakat, kesempatan menyelitkan unsur dakwah di dalamnya sewajarnya digunakan untuk mendekati pelbagai golongan.

Menyedari hakikat dan peluang ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah dipelawa untuk menjadi rakan kongsi dan penaja dalam menerbitkan sebuah Super Telemovie berunsurkan dakwah oleh UniUtama Management Holdings Sdn Bhd (UMHSB), anak syarikat kepada Universiti Utara Malaysia yang bergiat aktif dalam bidang penerbitan kandungan televisyen dan filem.

Kerjasama YADIM dan UMHSB ini, merupakan usaha pertama antara keduanya untuk memperkembangkan lagi medium dakwah dalam bentuk karya kreatif demi kesejahteraan ummah dan negara.

Tawaran kerjasama ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMHSB, Rodzi Lebai Karim dalam kunjungannya ke YADIM pada 5 November lalu. Mewakili YADIM dalam perbincangan berkenaan ialah Timbalan Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, Pengarah Kanan Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa, Dr Masitah Esa serta Penolong Pengarah Bahagian Media dan Teknologi Dakwah, Hamudah Hasan.

Menerusi kerjasama ini, ia diharap dapat mengangkat imej agamawan, serta memberi maklumat kepada penonton mengenai peranan institusi dakwah seperti YADIM di kalangan masyarakat.

Dalam cadangan berkenaan, UMHSB menawarkan sebuah Super Telefilem berjudul ‘Hud’ untuk YADIM bekerjasama menerbitkannya.

Hud berkisar mengenai seorang pembunuh upahan yang diberi tugasan membunuh seorang pendakwah, namun akhirnya menemui hidayah dan bertaubat serta insaf atas perbuatannya selama ini.

Ianya bakal diarahkan oleh Prof Dr Mohd Hatta Azad Khan yang sebelum ini terkenal dengan siri sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu selain filem Senario Asam Garam serta bakal mengarahkan filem Mahathir The Journey.

Menurut Rodzi, Finas sudahpun meluluskan sebahagian daripada dana dan jalan cerita utama untuk Hud, justeru memudahkan lagi usaha untuk menerbitkan Super Telefilem ini.

“YADIM boleh berikan lagi input dakwah untuk cerita ini, kita ada keyakinan terhadap Hud kerana hingga kini, masih tiada filem atau drama bergenrekan aksi dan ditambah dengan garapan nilai dakwah di negara ini.

“Harus diakui, Malaysia agak ketinggalan berbanding negara seperti Indonesia, Turki , Qatar, Iran dan Pakistan dalam menghasilkan filem atau drama bertemakan Islam,” katanya.

Dalam perbincangan berkenaan, delegasi UMHSB trut menjelaskan, konsep Super Telemovie Hud itu sendiri menarik kerana ia juga difokuskan untuk tontonan menerusi platform media baru selain akan dipasarkan ke stesyen televisyen tempatan dan luar negara.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *