Home » Citra Yadim » Cadangan penubuhan Tabung Dakwah Orang Asli

Cadangan penubuhan Tabung Dakwah Orang Asli

PUTRAJAYA – Sebuah tabung dana dakwah dicadangkan ditubuhkan bagi membiayai usaha dakwah untuk masyarakat Orang Asli di negara ini.

Ia merupakan antara hasil resolusi dalam Persidangan Meja Bulat Dakwah Orang Asli 2019 di sini pada 26 September.

Dengan adanya tabung berkenaan nanti, diharapkan program pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan perkasa.

Idea mewujudkan tabung berkenaan timbul kerana kerja kerja lapangan bagi menggerakkan program dakwah ke atas komuniti berkenaan memerlukan sumber dana yang besar.

Resolusi berkenaan dibacakan oleh Pengarah Bahagian Daie Ar Rahmah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Muhammad Ashraf Ab Malek.

Selain tabung berkenaan, para peserta yang hadir juga bersetuju bahawa sebarang gerak kerja dakwah ke atas masyarakat Orang Asli hendaklah dilaksanakan secara berpasukan dan permuafakatan antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Persetujuan itu yang dinamakan Resolusi Fastabiqul Khairat 26 September 2019, turut menggariskan keperluan untuk membangunkan tiga modul utama dakwah Orang Asli iaitu 1) Modul Khas Untuk Memberi Kemahiran Kepada Penggerak Dan Aktivis Dakwah Di Perkampungan Orang Asli, 2) Modul Khas Untuk Melatih Para Penceramah Dan Jurulatih Yang Akan Mengendalikan Kursus Dan Latihan Yang Berkaitan Dakwah Orang Asli, serta 3) Modul Khas Untuk Melatih Dan Melahirkan Daie Orang Asli.

Persidangan hari ini dianjurkan oleh Bahagian Daie Ar Rahmah YADIM bertujuan mendapatkan pandangan daripada rakan strategik, untuk dijadikan panduan bagi merencana gerak kerja dakwah kepada Orang Asli dengan lebih tersusun dan terarah.

Ia dihadiri oleh wakil wakil agensi dan NGO yang terlibat dalam usaha menyantuni masyarakat Orang Asli di negara ini.

Antara yang hadir termasuklah Global Unity Network, Yayasan Al Khalifah, Angkatan Dakwah Antarabangsa Malaysia, Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia, Persatuan Org Asli Islam Selangor dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia.

Hadir sama ialah wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Agama) seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia dan TV Al Hijrah.

Mewakili YADIM ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Perkaderan YADIM, Kapten (B) Shamsuddin Moner.

Persidangan dimulakan dengan penerangan mengenai program serta gerak kerja YADIM oleh Shamsuddin, selaku penyelaras kepada program  dakwah NGO Islam di negara ini.

Menurut beliau, wujud keperluan untuk melahirkan pendakwah dari kalangan Orang Asli  sendiri untuk memperkasakan usaha dakwah pada komuniti berkenaan.

Tuan Kamarul Arief pula dalam ucapannya kemudian berkata, penganjuran persidangan ini bertepatan dan sangat relevan kerana pendakwahan untuk Orang Asli memerlukan kesepaduan kerja .

Jelas beliau, ia bukan sekadar tugasan rutin biasa, tetapi haruslah tersusun dan dilakukan dengan terselaras.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *