Home » Langit Terbuka » Caruman Perkeso, Jakim bincang perluasan skop tugasan pegawai masjid

Caruman Perkeso, Jakim bincang perluasan skop tugasan pegawai masjid

Jakim mengadakan perbincangan dengan Perkeso pada 26 Mac lalu berkaitan perluasan skop tugasan imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir.- Foto Malay News

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukan kira-kira RM5.9 juta menerusi Inisiatif Prihatin Rakyat untuk caruman kepada 25,634 orang pegawai masjid melibatkan imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, inisiatif melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu merupakan usaha kerajaan melindungi pekerja di bawah jabatan itu.

“Pada 6 November tahun lalu, Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen telah mengumumkan caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso kepada golongan ini di seluruh negara.

“Ini adalah atas prinsip prihatin kerajaan terhadap kebajikan, perlindungan dan keselamatan kepada golongan ini ketika menjalankan tugas terutama dalam situasi pandemik Covid-19.

“Perkeso menawarkan pilihan caruman yang diinsuranskan sebanyak RM19.40 sebulan iaitu RM232 setahun tiap seorang dan sejumlah RM5,967,595.20 setahun telah disalurkan kerajaan kepada Perkeso tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) bagi imam, bilal, siak, noka, marbut dan guru takmir seluruh negara tahun 2021, menerusi atas talian.

Kata Dr. Zulkifli, usaha itu bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah dalam usaha memelihara nyawa daripada sebarang kemudaratan.

Kata beliau, skim itu juga menawarkan beberapa manfaat atau faedah yang merangkumi faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan faedah pendidikan.

Beliau juga memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan perbincangan dengan Perkeso pada 26 Mac lalu berkaitan perluasan skop tugasan imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir.

Menurutnya, selain menjalankan tugas hakiki khusus mengimarahkan masjid, golongan itu juga berperanan dan berfungsi sebagai pembimbing, penasihat serta pemudah cara dalam isu kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Skim SPS Lindung itu disediakan Jakim menerusi Perkeso mulai 1 Januari lalu dengan kerjasama Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri (JAIN/MAIN) dan Perkeso mengumpul serta mendaftarkan para imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir berjumlah 25,634 orang bermula 18 Mac 2021.

“Selain mereka ini, Jakim turut memperuntukan RM6.9 juta setiap tahun sejak 2019 untuk caruman Perkeso kepada 35,000 guru KAFA yang disalurkan kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri (PBAN) selaku Agensi Pelaksana KAFA di negeri.

“Semua guru KAFA yang dilantik menjadi pencarum dalam Perkeso dan layak mendapat faedah bergantung dengan terma dan syarat yang telah ditetapkan.

“Saya mohon JAIN dan MAIN memberi kerjasama memaklumkan perkara ini kepada pihak terlibat dengan skim ini, dan sekiranya terdapat kes melibatkan penerima faedah seperti berlaku kemalangan atau kematian supaya segera memaklumkan kepada mana-mana pejabat Perkeso dan Jakim untuk diambil tindakan yang sewajarnya,” kata beliau.

Sehubungan itu, kata Dr. Zulkifli, selaras dengan fungi Jakim sebagai sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan mengharapkan dengan adanya skim ini dapat meringankan beban kepada penerima faedah dan waris.

Pelaksanaan skim itu, katanya, atas prinsip prihatin kerajaan terhadap kebajikan, perlindungan dan keselamatan kepada golongan berkenaan yang sekian lama menjadi murabbi ummah membantu kerajaan memperkukuhkan penghayatan Islam dalam kehidupan masyarakat. – MalaysiaGazette

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *