Home » Langit Terbuka » Ceramah agama perlu mohon kebenaran JHEAIK, maklumkan polis

Ceramah agama perlu mohon kebenaran JHEAIK, maklumkan polis

Foto Berita Harian

ALOR SETAR: Polis Kedah menasihatkan semua penganjur aktiviti ceramah termasuk berunsur keagamaan mematuhi peraturan yang ditetapkan terutama memohon permit kebenaran daripada pihak terlibat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pemakluman berhubung aktiviti berkenaan kepada pihak polis perlu dilakukan sekurang-kurang lima hari sebelum tarikh program.

“Dalam situasi kemeriahan aktiviti ceramah keagamaan ini, polis meminta semua penganjur mestilah mendapat kebenaran daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK ) dan orang bertanggungjawab di premis terlibat seperti Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah lain.

“Pemakluman polis pula mesti sampai lima hari sebelum program,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pemakluman tersebut bertujuan untuk memastikan kesejahteraan awam selain membantu kelancaran program dengan syarat itu termasuk aktiviti ceramah politik yang dianjurkan oleh parti politik tertentu.

“Saya akan pastikan apabila aktiviti ceramah ini dimaklumkan kita akan bantu. Di sana ada syarat kalau tempat tidak sesuai, kita nasihatkan cari lokasi lain. Bukan tak boleh anjur ceramah dan kalau sudah ada permohonan perlu dapat surat kebenaran dan kepilkan pemakluman itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Polis Kedah merekodkan 25 kes pada 2022 dan 16 kes tahun ini berkaitan memalsukan laporan dipercayai untuk melarikan diri daripada tindakan denda kerana kehilangan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan diri.

Fisol berkata, sebanyak 19 kes daripada laporan palsu itu sudah diambil tindakan di mahkamah setakat ini dan statistik mendapati pengadu yang membuat laporan itu menyatakan mereka adalah mangsa kes samun dan curi.

“Tindakan demikian juga didapati bertujuan untuk menyelamatkan diri serta mengelak daripada sebarang kerugian proses pembaharuan dokumen pengenalan diri, pasport dan lain-lain,” katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan tidak bermoral itu mendatangkan implikasi buruk kepada pelaku terlibat terutama dalam kalangan pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000. Namun impaknya kalau pengadu ini budak sekolah atau IPT, mereka akan mempunyai rekod jenayah.

“Implikasinya sangat berat terutama apabila mereka ingin memohon pekerjaan nanti seperti 19 individu yang sudah diambil tindakan di mahkamah itu kini sudah terpalit rekod jenayah,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa tidak sesekali mengambil langkah mudah dengan membuat laporan palsu dan bersikap mementingkan diri sendiri sehingga merosakkan masa depan. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *