Idea itu disokong oleh sebuah sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman menanam dan menjual cili, Siti Kraf Enterprise yang membantu modal permulaan bagi menyediakan peralatan pertanian yang sistematik.

Setelah projek tanaman cili fertigasi sebanyak 1,000 pokok bermula pada Mac lalu, kini hasilnya sudah dikutip dan dijual.

Setiausaha Masjid Jamek, Sirat Abdullah berkata, sejak mengeluarkan hasil pertama baru-baru ini, 70 kilogram cili telah dipetik.

Sirat yang juga Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan Kuak Luar, Pengkalan Hulu berkata, hasil dipetik setiap dua hari dan dijual dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Cili yang matang kami petik sendiri dan menjualnya kepada jemaah dengan harga yang murah berbanding harga pasaran sekarang iaitu kira-kira RM26 hingga RM30 sekilogram.

“Hasil yang dipetik juga turut dijual di pasaran tempatan oleh syarikat Siti Kraf Enterprise tersebut,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang berkunjung ke masjid tersebut kagum dan teruja apabila pihak masjid mampu menguruskan tanaman fertigasi itu untuk menjana pendapatan.

“Ramai yang bertanya mengenai kaedah penanaman dan penjagaan cili tersebut selain mahu membelinya.

Secara tidak langsung kami berkongsi ilmu dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Syarikat Siti Kraf Enterprise, Salehudin Sabberan, penjagaan tanaman cili secara fertigasi tidak sukar kerana ia menggunakan sistem penyiraman automatik.

Katanya, benih yang ditanam adalah yang terbaik kerana mahukan hasil yang terbaik.

“Saya meluangkan masa sekurang-kurang sejam setiap hari memantau perkembangan anak pokok cili tersebut selepas benihnya ditanam dalam beg,” katanya. – Utusan Malaysia.