Home » Langit Terbuka » Dakwaan polis tidak jaga solat keterlaluan

Dakwaan polis tidak jaga solat keterlaluan

PDRM menyediakan prasarana dan sentiasa memberi ruang untuk setiap pegawai dan anggota melaksanakan kewajipan masing-masing, Kata Ketua Polis Negara. - Foto TMR

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan dakwaan yang dibuat oleh pemilik portal Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menjaga solat sebagai keterlaluan.

Beliau juga berkata isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan dalam khalayak ramai.

“Ini (solat) soal kita dengan Tuhan dan PDRM tidak pernah ketepikan … didikan moral dan agama sentiasa disemarakkan dalam pasukan.

“Orang kena tahu yang PDRM juga ada hafiz dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negara mempunyai surau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata pihaknya telah menyediakan prasarana dan sentiasa memberi ruang untuk setiap pegawai dan anggota melaksanakan kewajipan masing-masing.

“Saya tidak boleh paksa semua orang sembahyang … itu antara diri masing-masing dengan Tuhan,” katanya.

Menurut Abdul, setiap calon konstabel dan pegawai bagi pengambilan baharu juga diwajibkan menjalani ujian agama.

“Ini telah lama dilakukan dan ujian kefahaman asas agama kepada calon agama Islam ini membolehkan PDRM nilai siapa yang layak untuk menjadi anggota polis.

“Dalam Rukun Negara juga jelas mengatakan yang asasnya adalah kepercayaan kepada Tuhan. Pucuk pimpinan tidak mahu orang berisiko diberi kuasa,” katanya.

Semalam, satu klip video berdurasi 31 saat memaparkan Asri Janggut, 42, dalam satu sidang media mendakwa anggota polis serta tentera tidak menjaga solat. – Bernama

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *