Home » Langit Terbuka » Persekutuan, negeri perkasakan mahkamah Syariah

Persekutuan, negeri perkasakan mahkamah Syariah

Inisiatif berbentuk inovasi juga sudah diperkenalkan bagi mempercepat penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran Mahkamah Syariah, antaranya e-Bicara, e-Faraid, dan Program Perceraian Fast Track di Selangor. - Foto Peguam Syarie.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri berusaha memperkasa institusi Mahkamah Syariah, dengan memperluas bidang kuasa institusi itu, selain menaik taraf sistem kehakiman dan menyemak semula kedudukan Hakim Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kerajaan juga sedang meneliti kewajaran untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) yang pernah ditubuhkan pada 2017 bagi memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik, namun terhenti berikutan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Selain itu, penyeragaman pentadbiran juga dilakukan melalui pembinaan Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan diguna pakai di seluruh Mahkamah Syariah.

“Usaha ini dibuat melalui perbincangan dalam Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia dan mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah,” katanya pada 13 Ogos.

Zulkifli memaklumkan, inisiatif berbentuk inovasi juga sudah diperkenalkan bagi mempercepat penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah, antaranya e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track di Selangor, Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET) di Wilayah Persekutuan, E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) di Pulau Pinang serta pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu bagi mempercepat penyerahan dokumen dan perintah mahkamah.

“Berkenaan tempoh masa penyelesaian sesuatu kes, ia bergantung kepada pelbagai faktor, sama ada dari pihak Mahkamah Syariah, peguam syarie atau pihak dalam kes itu sendiri.

“Usaha proaktif sudah dilakukan mahkamah bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang usaha untuk menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah seluruh negara perlu mendapat pandangan dan persetujuan Sultan atau Raja selaku ketua agama di setiap negeri serta pihak berkuasa agama negeri. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *