Home » Langit Terbuka » Dana bantu al-Aqsa

Dana bantu al-Aqsa

Tabung wakaf membantu Al Quds itu menyasarkan kutipan RM6,000 untuk satu meter persegi kawasan masjid al-Aqsa yang dikatakan mempunyai keluasan kira-kira 144,000 meter persegi, jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR – IBARAT bom jangka, tiada siapa dapat menjamin hayat penduduk Palestin yang terus ditindas dan menjadi mangsa serangan Zionis Israel tanpa belas.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai sekatan dan penindasan secara berterusan dilakukan oleh tentera rejim itu kepada umat Islam sehingga menjadikan mereka bukan sahaja hidup dalam ketakutan tetapi kos sara hidup terus melambung tinggi.

Berasaskan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menggerakkan satu usaha bersama 100 masjid dan surau Jumaat sekitar Wilayah Persekutuan bagi mengumpul dana wakaf melalui Program Waqaf al-Quds.

“Kita mesti bantu komuniti Islam di kawasan tersebut supaya mereka dapat terus kekal bagi mempertahankan masjid al-Aqsa daripada jatuh ke tangan tentera Zionis itu.

“Keadaan hidup di kawasan itu cukup mencabar. Penindasan sering dilakukan, barangan keperluan harian cukup mahal, anak-anak mereka sukar mendapat akses pendidikan dan banyak lagi,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Waqaf al-Quds di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail.

Berdasarkan program itu, tabung wakaf menyasarkan kutipan RM6,000 untuk satu meter persegi kawasan masjid al-Aqsa yang dikatakan mempunyai keluasan kira-kira 144,000 meter persegi.

Inisiatif itu perlu bagi membantu menampung kos hidup yang tinggi untuk pembiayaan pendidikan, kesihatan, wanita dan kanak-kanak, serta untuk meneruskan kelangsungan hidup sekitar masjid al-Aqsa.

“Pihak pengurusan masjid atau surau Jumaat boleh mewakafkan mana-mana kawasan yang mereka inginkan dan ia juga tidak terhad untuk satu meter persegi sahaja kerana itu had minimum.

“Berdasarkan maklum balas daripada beberapa masjid dan surau Jumaat, saya percaya sasaran 100 buah institusi suci Islam itu dapat dicapai sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Dalam masa sama, Fuziah juga mengharapkan masjid dan surau Jumaat di negeri lain akan turut sama dalam kempen tersebut sebagai tanda kesatuan ummah dalam melindungi kawasan tanah suci ketiga umat Islam.

“Ia juga bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat kempen kesedaran bagi masyarakat sekeliling dan pusat sehenti bagi penyebaran maklumat semasa dan mendidik masyarakat tentang kepentingan membantu masyarakat Palestin. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *