Home » Langit Terbuka » Detik mengejutkan bagi Mat Dan

Detik mengejutkan bagi Mat Dan

MAT DAN tampil bersalaman dengan Ahmad Zahid selepas diumumkan status penduduk tetap ketika berucap merasmikan Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Kompleks Sukan Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu petang tadi. – Foto : Utusan

KUALA TERENGGANU 26 Feb. – Mat Dan, 28, selebriti berketurunan Inggeris yang fasih bertutur loghat tempatan dan dianggap berjiwa Melayu Terengganu hari ini menerima khabar gembira apabila diikitiraf sebagai penduduk tetap (PR) negara ini.

Detik yang dinantikan lebih bermakna baginya dan disambut penuh kesyukuran apabila dinyatakan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak dekat sini hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu dalam ucapannya, Ahmad Zahid dengan spontan mengajak Mat Dan (Daniel Tyler) yang kini memakai nama Muhamed Kareef Daniel (selepas memeluk Islam) naik ke pentas sambil disaksikan ribuan pengunjung.

“Saya dimaklumkan bahawa anda (Mat Dan) adalah ikon di Terengganu dan hari ini saya umumkan Mat Dan sebagai Penduduk Tetap Malaysia dan Terengganu.

“Mat Dan, anda perlu setia kepada isteri anda (wanita Melayu kelahiran Terengganu) dan jangan nak buka ‘cawangan’ lain,” katanya berseloroh dalam majlis itu.

Sementara itu, Mat Dan yang menetap di sini hampir sedekad lalu  mengucapkan syukur kerana impiannya untuk bergelar penduduk tetap dapat direalisasikan selepas sekian lama menunggu dan berusaha ke arah tersebut.

Dia yang merupakan ikon Ekspo Terengganu 2018 menyifatkan sebagai hadiah amat bererti hasil sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta Kementerian Dalam Negeri.

“Saya memang ada mohon status penduduk tetap tetapi saya terkejut, takut dan malu apabila dipanggil ke atas pentas oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Saya bersyukur sangat saya sudah sembilan tahun tinggal di sini dan berharap akan  menetap di sini selamanya. Saya sentiasa berbangga dengan Terengganu dan akan terus mempromosikan negeri ini dan Malaysia,” katanya.

Jejaka kelahiran Bristol, England ini melangsungkan perkahwinan dengan Nadifa Adnan pada 12 Mac tahun lalu dan menjadi pengacara dalam beberapa program televisyen. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *