Home » Langit Terbuka » Doktor Malaysia khatankan kanak-kanak di selatan Thai

Doktor Malaysia khatankan kanak-kanak di selatan Thai

Diketuai Pakar Bedah Neurosurgeri Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, Dr Nujaimin Udin, Program Khatan Amal Nusantara telah mengkhatankan lebih 100 orang kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun di wilayah yang bergolak itu. - Foto Bernama

PATTANI – Sekumpulan doktor dari Malaysia menabur khidmat bakti dengan mengkhatankan kanak-kanak secara percuma di Pattani, selatan Thailand.

Diketuai Pakar Bedah Neurosurgeri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Dr Nujaimin Udin, Program Khatan Amal Nusantara telah mengkhatankan lebih 100 orang kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun di wilayah yang bergolak itu.

Beliau berkata, seramai 80 orang doktor, paramedik khususnya dari HSNZ dan sukarelawan menyertai program kali ini.

Dr Nujaimin yang juga Pengerusi Pasca Siswazah Sultanah Zahirah (PGMES) berkata ini merupakan pembabitan kali keempat Program Khatan Amal Nusantara di selatan Thailand.

“Kami berharap melalui program ini dapat membantu anak-anak fakir miskin di Pattani untuk berkhatan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, program sama pernah diadakan di Sungai Golok, Yala dan Narathiwat di selatan Thailand.

Program Khatan Amal Nusantara anjuran Persatuan Pembantu Perubatan (PPP) Terengganu itu diadakan sempena musim cuti persekolahan juga diadakan di negara-negara seperti Vietnam, Kemboja dan Indonesia selain di Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak.

“Kami sasarkan antara 100 hingga 150 kanak-kanak setiap program yang dianjurkan,” katanya.

Selain menyediakan khidmat berkhatan, Dr Nujaimin berkata, para doktor dan sukarelawan juga menyampaikan peralatan persekolahan sumbangan rakyat Malaysia kepada anak-anak tersebut. — Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *