Home » Langit Terbuka » Dr M jelaskan mengapa SST lebih baik daripada GST

Dr M jelaskan mengapa SST lebih baik daripada GST

Dr Mahathir berkata meskipun menurunkan kos sara hidup adalah kerja rumit, ia masih tidak mengiyakan hujah yang mendakwa GST adalah cukai yang lebih baik - Foto Today Online

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kira-kira 8 bulan selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan, di sebalik rungutan langkah itu tidak berjaya menurunkan harga.

Dalam temubual eksklusif bersama FMT baru-baru ini yang menyentuh pelbagai topik, perdana menteri berkata kos sara hidup amat berkait dengan gaji, dan penurunan harga bukan sesuatu yang mudah dicapai.

“Adalah mudah untuk menaikkan kos sara hidup. Kita cuma perlu bayar gaji lebih tinggi dan serta-merta kos pengeluaran akan meningkat, kos perkhidmatan juga meningkat,” katanya, apabila diberitahu kos barangan harian umumnya tidak berubah, malah naik dalam tempoh 3 bulan lepas sejak SST diperkenalkan semula.

“Tapi apabila anda mahu turunkan harga, anda perlu turunkannya dengan mengurangkan gaji. Perkara itu tidak akan disambut baik, jadi kami tidak boleh melakukannya.”

Sebaliknya, mengurangkan kos sara hidup memerlukan usaha sektor swasta, termasuk peningkatan produktiviti tanpa menaikkan gaji, katanya.

“Dengan cara itu, kos apa sahaja produk anda atau apa jua perkhidmatan yang anda dapat akan lebih rendah kerana produktiviti lebih tinggi, jadi kami perlu mencari cara meningkatkan produktiviti.”

Beliau berkata antara langkah meningkat kecekapan ialah melaksanakan lebih banyak automasi dalam proses pengeluaran.

“Jika anda menggunakan lebih banyak robot, anda boleh menghasilkan lebih banyak tanpa meningkatkan kos yang disebabkan oleh kenaikan gaji. Sektor swasta perlu melakukan perkara ini.”

Namun, beliau akui menurunkan harga akan mengambil masa yang lama.

“Pada mulanya, kenaikan kos sara hidup tidak akan terlalu cepat, tetapi akan ada masanya ia terhenti apabila produktiviti naik, dan pada masa itulah kos sara hidup akan turun.”

Dr Mahathir berkata meskipun menurunkan kos sara hidup adalah kerja rumit, ia masih tidak mengiyakan hujah yang mendakwa GST adalah cukai yang lebih baik.

Beliau berkata ekonomi negara bertahan sekian lama tanpa GST, cukai pengguna yang diperkenalkan pada 2015 walaupun berdepan bantahan.

Kerajaan Datuk Seri Najib Razak ketika itu berhujah, cukai itu bermakna barangan akan lebih murah, kerana kadar 6% lebih rendah berbanding 10% kadar SST.

Secara kebetulan, harga minyak menjunam antara 2014 dan 2016. Ketika itu kerajaan berkata GST telah menyelamatkan ekonomi dengan pendapatan sebanyak RM46 bilion, menampung kehilangan pendapatan daripada eksport minyak Malaysia.

Ditanya mengapa kerajaan Pakatan Harapan meneruskan janji menghapuskan GST walaupun berdepan risiko kehilangan pendapatan berbilion ringgit, Dr Mahathir menolak hujah tersebut.

“Mereka beri angka yang mengatakan GST sebenarnya meningkatkan hasil kerajaan. Itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata cukai itu bersifat pencukaian pelbagai peringkat di pelbagai tahap, dari pengeluar kepada pengguna akhir.

“Jadi terdapat 3 atau 4 lapisan di mana cukai dikutip. Tetapi kerajaan berjanji jika cukai itu dikutip 2 kali, kerajaan akan membayar balik.

“Apa yang dilakukan kerajaan Najib adalah, wang yang sepatutnya mereka pulangkan itu tidak dibayar balik. Mereka memasukkan wang itu ke dalam kumpulan dana disatukan, jadi ia memberi gambaran kutipan GST adalah besar,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata hasil GST tidaklah besar selepas mengambil kira jumlah yang perlu dibayar balik.

Beliau berkata pengeluar tiada pilihan tetapi memasukkan kos GST dalam harga runcit barangan mereka. Ini kerana, tambahnya, mereka tidak dapat menunggu masa lama menerima bayaran balik GST untuk menutup kos.

“(Jadi) kos GST tetap ada, dan kerajaan nampak seperti mempunyai lebih banyak wang, tetapi wang itu bukanlah wang kerajaan. Kerajaan sepatutnya membayar balik, tetapi mereka tidak membayar balik. Dan oleh kerana tidak dibayar balik, pengeluar mengekalkan harga lebih tinggi, kerana beberapa (lapisan) cukai dibayar lebih daripada sekali, dan itu memberi kesan kepada kos sara hidup,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata berlainan dengan GST, cukai berganda tidak terdapat dalam SST, dan amat sedikit jika ada.

Menurutnya, walaupun SST mengutip jumlah yang lebih rendah, ia mencerminkan hasil sebenar kerajaan, tidak seperti berbilion ringgit yang dikutip GST yang termasuk juga hutang kepada rakyat. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *