Home » Langit Terbuka » Dr Mohd Asri berniat baik tapi kenyataannya mengelirukan

Dr Mohd Asri berniat baik tapi kenyataannya mengelirukan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri berkata, beliau yakin status Facebook Mufti Perlis yang ingin mendapatkan pandangan orang ramai berhubung isu ancaman terhadap Islam mungkin untuk menilai prestasi kerajaan baru selama setahun ini. - Foto Malaysiakini

KUALA LUMPUR – Kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berhubung kedudukan Islam dikatakan terancam bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) adalah berniat murni, namun ia mengelirukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau yakin status Facebook Dr Mohd Asri yang ingin mendapatkan pandangan orang ramai berhubung isu berkenaan mungkin untuk menilai prestasi kerajaan baru selama setahun ini.

“Namun, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, kenyataan itu (kenyataan Dr Mohd Asri) bagi saya agak mengelirukan.

“Persoalan asas adalah berkisar tentang isu laporan polis daripada orang awam terhadap saudara Zamri Vinoth yang dikatakan ‘menghina’ agama hindu.

“Adakah hanya dengan satu peristiwa ini menyebabkan satu hukum umum dirumuskan seperti menyatakan Islam terancam di bawah PH? Bukankah saudara Zamri Vinoth ditahan untuk membantu siasatan?

“Lagipun belum ada sebarang pertuduhan di mahkamah untuk mendakwa saudara Zamri. Kenapa sesuatu yang masih belum dipastikan menjadi asas penilaian bahawa Islam di Malaysia ketika pentadbiran PH terancam?” katanya dalam kenyataannya di keluarkan di sini.

Sebelum ini, Mujahid ketika mengulas isu yang sama mempersoalkan maksud yang hendak disampaikan Mohd Asri terhadap kenyataannya yang mendakwa urus tadbir Islam negara ini ‘semakin terancam’.

Mohd Asri dalam catatan di Facebooknya menyatakan; ‘Ramai berasakan di bawah urus tadbir hari ini, Islam makin terancam di Malaysia. Apakah pendapat anda?’

Mujahid menegaskan, kerajaan hari ini komited selama setahun memastikan Islam terbela dan dimartabatkan melalui beberapa tindakan:

“Kerajaan hari ini memperkenalkan Gagasan Rahmatan Lil Alamin; melaksanakan reformasi institusi dan agensi agama; menonjolkan konsep Masjid R.A.H.M.A.H; memulihkan Tabung Haji dengan komitmen sebanyak RM 17.8 billion selain menganjurkan Muzakarah Ulamak dan Cendiakawan Islam yang diadakan setiap dua bulan sekali bagi membincangkan isu-isu semasa membabitkan permasalahan umat Islam di Malaysia.

“Kerajaan juga memperkenalkan Maqasid Based Governance kepada enam Kementerian; mengadakan sesi “Town Hall” Maqasid ke seluruh negara; menambah peruntukan bajet pentadbiran Islam kepada RM1.2 billion dan bajet tambahan kepada Institusi Tahfiz sebanyak RM50 juta serta Institusi Pondok sebanyak RM25 juta,” katanya.

Selain itu, kerajaan hari ini turut menyelaras pentadbiran hal ehwal Islam dengan memperkenalkan tujuh kluster bagi memudahkan urusan pentadbiran untuk tujuan kemudahan dan maslahah rakyat; melaksanakan program Jelajah RAHMAH KAMPUS di empat buah kampus bagi memperkenalkan Gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Beliau berkata, Dr Mohd Asri ketika memberi respon terhadap kenyataan “pekak” oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan sebenarnya kerajaan PH yang tidak mendengar cadangannya untuk menggerakkan dialog antara agama bagi menyelesaikan masalah ketegangan antara agama kebelakangan ini.

“Saya memang memberi komitmen dan telah menghidupkan #solidarity4peace melalui platform Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Usaha ini dimulakan bertitik tolak dari hasrat murni Dr Mohd Asri. Platform ini menggerakkan pelbagai agama di Malaysia untuk menyatakan sokongan padu atas Deklarasi Kuala Lumpur 2019 dalam perhimpunan yang kami adakan.

“Diharapkan dengan adanya platform ini, saya sebagai pengerusi bersama Menteri Perpaduan dapat menjalankan pelbagai program pada tahun ini seperti yang dirancang. Pastinya antara lain program yang dirancang ialah Dialog Antara Agama,” katanya.

Mujahid menjelaskan kerajaan PH sentiasa mengambil pandangan bahawa kehidupan antara agama mesti di atas kedamaian dan bukannya kebencian serta memandang rendah agama lain.

“Saya ingin ucapkan terima kasih Dr Mohd Asri dari lubuk hati saya kerana sudi mengkritik kami dan saya sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bertanggungjawab menjelaskan keadaan secara objektif,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *