Home » Langit Terbuka » Dr. Siddiq Fadzil dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah USIM

Dr. Siddiq Fadzil dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah USIM

USIM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan untuk tempoh tiga tahun sehingga September 2021 telah dipersetujui oleh Menteri Pendidikan

SEREMBAN – Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018, Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.

USIM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan untuk tempoh tiga tahun sehingga September 2021 telah dipersetujui oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek.

Katanya, Dr. Siddiq adalah Pengerusi Lembaga Pengarah USIM keempat dan menggantikan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak yang telah tamat tempoh lantikannya pada 30 September lalu.

“Pihak universiti mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan beliau dan percaya bahawa daya kepimpinan dan pengalaman luas yang dimilikinya mampu memacu universiti sebagai pusat rujukan global untuk integrasi ilmu Naqli dan Aqli,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, pihak universiti turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Dzulkifli atas sumbangan dan jasanya kepada USIM selama ini.

Dr. Siddiq merupakan Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia selain menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan.

Profesor Adjung di Universiti Industri Selangor itu memperoleh ijazah doktor falasafah dalam Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya.

Beliau pernah menjadi Presiden ketiga Angkatan Belia Islam Malaysia dari tahun 1983 sehingga 1991 dan masih bergiat aktif dalam kegiatan dakwah, menulis dan menyampaikan syarahan akademik. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *