Home » Langit Terbuka » EU lega Le Pen tersingkir

EU lega Le Pen tersingkir

– Macron muncul Presiden termuda Perancis, – Janji pulihkan hubungan dengan Eropah

PARIS 8 Mei – Kemenangan Emmanuel Mac­ron dalam pilihan raya Presiden Perancis semalam membolehkan Kesa­tuan Eropah (EU) menarik nafas lega selepas calon berhaluan sederhana itu berjaya menyingkirkan Marine Le Pen yang mengancam mahu membawa keluar negara ini daripada blok terbabit selepas Britain.

Kejayaan Macron muncul sebagai Presiden termuda Perancis itu pada masa sama mendorong mata wang euro mencapai paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat ketika pasaran saham Asia turut mencatatkan peningkatan.

Selepas hampir kesemua undi dikira, Macron, 39, mengungguli jumlah peratusan undi dengan 66 peratus berbanding Le Pen daripada Parti Barisan Nasional (FN) yang hanya meraih 34 peratus undi, jurang yang lebih besar berbanding 20 peratus mata seperti yang diramal badan pilihan raya Perancis.

Namun demikian, keputusan itu juga merupakan satu rekod bagi FN, sebuah parti yang mempunyai dasar antipendatang sehingga mengakibatkan berlakunya perpecahan di Perancis yang perlu dipulihkan Macron.

Selepas memenangi pusingan pertama pilihan raya dua ming­gu lalu, Macron dituduh menonjolkan dirinya seolah-olah seorang Pre­siden dan selepas keputusan itu disahkan malam tadi, beliau tampak lebih ketara.

“Saya tahu perpecahan di negara kita mengakibatkan pengundi untuk memilih pelampau namun saya menghormati keputusan mereka.

“Saya tahu kemarahan, kebimbangan dan keraguan yang dinyatakan oleh kebanyakan pengundi dan menjadi tanggungjawab saya untuk mendengar keluhan itu. Saya juga akan berusaha mencipta semula hubungan antara Eropah dan rak­yatnya,” tegas Macron.

Selepas memenangi pilihan raya Presiden, Macron bakal berdepan satu lagi cabaran untuk mendapat­kan undi majoriti dalam pilihan raya Parlimen bulan depan supaya per­gerakan politik yang dinaungi­nya hampir setahun dan dijenama­kan semula sebagai La Republique En Marche dapat melaksanakan program yang dirancangnya.

Presiden Perancis yang bakal melepaskan jawatannya, Francois Hollande dan terlibat membawa Macron dalam arena politik berkata, keputusan pilihan raya itu mengesahkan majoriti rakyat negara ini mahu menyatukan nilai republik dan menunjukkan kecintaan mereka kepada EU.

Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Junc­ker dalam perbualan telefon memberi­tahu Macron bahawa beliau gembira dengan idea bakal Presiden terbabit untuk mempertahankan Eropah supaya menjadi kuat dan progresif yang akan melindungi rakyatnya.

Pada masa sama, Macron turut bercakap dengan Canselor Jerman, Angela Merkel, pemimpin yang diharapkan bakal presiden itu akan dapat menghidupkan se­­mula paksi Perancis-Jerman di tengah-tengah EU.

Sementara itu, Le Pen, 48, turut merakamkan ucapan tahniah di atas kemenangan Macron tetapi beliau menggesa penyokong parti pembangkang supaya menyertai­nya untuk membentuk pergerakan politik baharu.- Utusan Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *