Home » Langit Terbuka » Fatwa berhubung Syiah kuasa negeri

Fatwa berhubung Syiah kuasa negeri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan hanya menegaskan berhubung Artikel 11 menyatakan mengenai kebebasan beragama dengan kaveat 11(4), tidak boleh promosi

PUTRAJAYA – Kuasa menyemak semula fatwa Syiah sebagai menyimpang daripada ajaran Islam tertakluk di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata Kerajaan Persekutuan hanya menegaskan berhubung Artikel 11 menyatakan mengenai kebebasan beragama dengan kaveat 11(4), tidak boleh promosi.

“Berkenaan isu Syiah ini ada dua perkara, pertama ialah apabila diwartakan semua fahaman Syiah itu dianggap sesat. Kedua adalah fatwa mengatakan amalan orang Islam di Malaysia iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Barang siapa beramal selain daripada itu boleh dianggap bercanggah dengan fatwa ini, cuma kita memerlukan garis (panduan) yang jelas iaitu adakah hanya kerana menjadi Syiah, kita boleh ambil tindakan.

“Atau dengan menjadi Syiah dan dia mempromosi fahaman Syiah… itu dua benda yang berbeza,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Kelmarin, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata, fatwa yang menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam boleh disemak semula berdasarkan beberapa hujah selepas mengambil kira konsensus mengenainya hanya bertentangan dengan fahaman ASWJ.

Beliau dipetik sebagai berkata, ia boleh dilakukan selepas mengambil kira amalan penganutnya yang dilihat masih berada dalam lingkaran ajaran Islam, selain fahaman ASWJ tidak mewakili keseluruhan umat Islam.

Selain itu, menerusi laporan disiarkan sebuah portal berita, aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar menggesa pembatalan fatwa yang menetapkan Syiah sebagai menyimpang daripada ajaran Islam.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2 dan 3 Mei 1996, menetapkan umat Islam Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Berhubung isu cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Mujahid meminta rakyat tidak bermain dengan emosi.

Katanya, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan itu supaya mengemukakan pandangan di platform yang betul kerana walaupun Malaysia mengamalkan konsep demokrasi, sensitiviti pelbagai kaum perlu dijaga. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *