Home » Langit Terbuka » Fitnah berleluasa di media sosial – Noor Hisham

Fitnah berleluasa di media sosial – Noor Hisham

Gambar tular mengaitkan Ketua Pengarah Kesihatan itu sebenarnya diambil ketika beliau menerima penghargaan oleh pihak Royal College of Surgeons of Edinburgh pada tahun 2018. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan penyebaran fitnah melalui media sosial dalam kalangan masyarakat ketika ini semakin berleluasa dan sukar ditangani.

Beliau yang meluahkan rasa kesal berkata, kebanyakan aplikasi media sosial diguna bagi menyebarkan pelbagai berita dan cerita palsu.

“Alhamdulilah pihak Royal College of Surgeons Edinburgh telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari ini.“Terima kasih saya ucapkan kepada Professor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid atas pencerahan ini,” tulisnya di Facebook miliknya.

Sejak kelmarin, Noor Hisham dikaitkan dengan upacara Freemasons dan keagamaan apabila gambar beliau memakai jubah telah tular di media sosial.Namun gambar itu ketika beliau menerima penghargaan oleh pihak Royal College of Surgeons of Edinburgh itu diambil pada tahun 2018.

Sementara itu, Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung anugerah ijazah kehormat, The Fellowship Ad Hominem yang diberikan kepada Noor Hisham yang dikaitkan dengan upacara Freemason.

Ketua Penglibatan Antarabangsa RCSEd, Mariette Naud-Betteridge berkata, anugerah Fellowship Ad Hominem adalah satu daripada penganugerahan tertinggi oleh kolej tersebut kepada Noor Hisham.

“Penghargaan itu diberikan kepada bekas pengamal perubatan atau yang masih berkhidmat atau individu yang mempunyai status profesional bertaraf tinggi serta dianggap layak mendapat penghormatan.

“Anugerah itu diberikan secara rasmi dalam upacara yang dihadiri oleh anggota kolej dan penerima perlu memakai jubah istiadat kolej pada majlis penyampaian anugerah,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, Noor Hisham dianugerahkan Fellowship Ad Hominem oleh Jawatankuasa Anugerah RCSEd pada 12 Oktober 2017 sebelum disampaikan Presiden Kolej, Mike Lavelle-Jones pada 2 Februari 2018 bagi mengiktiraf pencapaian beliau dalam bidang perubatan dan pembedahan serta sokongannya selama bertahun-tahun terhadap kolej itu. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *