Home » Citra Yadim » Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah

Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah

CAKNA Dengan isu kedudukan Mahkamah Syariah yang hangat diperkatakan ketika ini, YADIM telah mengambil inisiatif menganjurkan ‘Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah’ pada 17 Februari.
Berlangsung di Dewan Abdullah Bukhari Nasyrul Quran Putrajaya, ia dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan, pemimpin komuniti, kakitangan kerajaan dan swasta, sukarelawan serta pelajar universiti.
Program bermula dengan ucapan aluan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.
Tegasnya, YADIM mengambil berat dan cakna akan situasi mengenai kes petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha binti Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan.
Justeru ujarnya, YADIM mengambil inisiatif untuk menyediakan platform penerangan berkaitan kedudukan Mahkamah Syariah pasca keputusan tersebut, supaya masyarakat mendapat maklumat yang jelas daripada pakar-pakar perlembagaan.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Prof. TS. Dr. Zuriati binti Ahmad Zukarnain.
Ia kemudiannya diteruskan dengan ucap utama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Nai’m Haji Mokhtar, yang menyifatkan penganjuran forum sebagai tepat dan amat penting untuk memberi penjelasan kepada masyarakat.
Menurut beliau, pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan pada masa yang sama ingin melihat Mahkamah Syariah dipertahankan.
Justeru beliau menyeru semua pihak untuk sama-sama mengelak unsur emosi dalam isu Mahkamah Syariah ketika ini.
Jelasnya, dalam Islam sendiri terdapat mazhab yang berlainan tetapi masih dapat wujud bersama .
Sesi forum kemudiannya berlangsung yang membariskan pakar-pakar perlembagaan berpengalaman dan terlibat dengan perjalanan kes yang disebutkan.
Mereka ialah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Dato’ Mohd Amran Mat Zain, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain, daripada Institut Pemikiran Dan Tamadun Islam Antarabangsa, Datuk Adnan Seman (Tetuan Adnan Sharida & Associates) dan Tuan Lukman Sheriff Alias (Tetuan Zul Rafique & Partners).
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin telah bertindak selaku moderator.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Senator Dr Zulkifli Hasan kemudiannya membacakan resolusi forum dan menyempurnakan perasmian penutup majlis.
Resolusi dibcakan Senator Dr Zulkifli itu antara lain menyentuh mengenai kepentingan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, mencari jalan penyelesaian bagi mencari titik keharmonian antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah serta memanfaatkan media massa dengan pengisian informasi berkala menerusi bahan bacaan dan penghasilan video pendek berkaitan undang-undang syariah dan perlembagaan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *