Home » Langit Terbuka » G25: Hentikan tafsir agama secara liberal

G25: Hentikan tafsir agama secara liberal

KUALA LUMPUR – Kumpulan G25 diingat untuk tidak menjadi penyumbang kepada keganasan persepsi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, sekiranya kumpulan itu keliru dengan ajaran agama Islam yang sebenar pihaknya sedia berjumpa dengan kesemua ahli kumpulan terbabit.

“Masalahnya berlaku apabila kecelaruan memahami ajaran Islam dan terlalu taksub kepada liberalisme barat. Mereka cuba pecahkan antara ikatan kehidupan dan keagamaan. Kita tidak boleh tafsir agama ikut nafsu kita.

“Kalau tidak puas hati datang kepada kami, saya sedia bertemu dengan mereka bila-bila masa. Kita boleh jelaskan, mereka orang Islam kenapa perlu bercakap pada perkara yang tidak berlaku dalam masyarakat kita,” katanya ketika ditemui di Majlis Graduasi dan Penyampaian Watikah, Felo Muda Dakwah (FMD) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), hari ini.

Kumpulan G25 semalam mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila jurucakapnya, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, enakmen kesalahan jenayah syariah berkaitan khalwat perlu dikaji semula kerana menceroboh kehidupan peribadi rakyat. Pihak berkenaan menentang tindakan menjadikan dosa berkhalwat sebagai satu jenayah yang dianggap mereka sebagai dosa peribadi.

Menurut Asyraf sebagai golongan elit tidak sewajarnya kumpulan tersebut mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat serta memalukan diri mereka sendiri. Katanya, jangan terlalu taksub dengan fahaman liberalisme yang kononnya membawa prinsip hak asasi sehingga hilang nilai agama.

“Jangan menjadi (kumpulan) pelampau yang menyumbang kepada keganasan persepsi. Kita hari ini berhadapan dengan keganasan persepsi, persepsi paling buruk kini ialah cuba mewarnakan agama dengan warna yang terlalu negatif berdasarkan andaian dan persepsi.

“Maqasid Syariah dalam Islam mengharuskan penjaga agama bertindak pada landasan yang wajar bagi menjaga kesucian agama,” katanya.

Menurut beliau, apa yang dilakukan oleh penguatkuasa agama adalah termaktub dalam Perlembagaan Perkara 3(1) dan Perkara 38(1) sumpah Raja Raja Melayu untuk memelihara agama.

“Apabila ada mempersendakan agama dengan melakukan maksiat dan ada aduan dibuat, adakah penguatkuasa harus diam?

“Penguatkuasa bertindak atas prosedur yang ditetapkan, bukan mereka mengintip atau cuba mencari aib orang. G25 cuba mencorakkan persepsi tidak baik pada penguatkuasa agama. Kita kini dalam zaman keganasan persepsi wujudnya (kumpulan) pelampau,” katanya.

Di majlis yang sama, Asyraf turut meletakkan harapan agar graduan program FMD itu menjadi ejen Islam untuk membawakan mesej-mesej berguna kepada masyarakat. Katanya, di saat agama Islam berdepan dengan fitnah besar dunia tanpa sempadan, perlu wujudnya pendakwah-pendakwah muda yang mempunyai jati diri yang tinggi untuk mengubah persepsi buruk terhadap Islam.

“Perlu ada kumpulan seperti ini untuk sebarluaskan Islam dengan pendekatan terkini dan berhikmah. FMD boleh jadi ejen perubahan kepada masyarakat,” katanya.

Sejak diperkenalkan Yadim pada tahun 2014 seramai 96 orang telah mengikuti program FMD dan seramai 22 orang peserta sudah tamat latihan pada tahun ini.

Sumber daripada www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *