PUTRAJAYA, 26 November – Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama strategik bersama barisan ejen dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), khususnya Rakan Siswa YADIM (RSY), bagi mempergiat pelaksanaan program dakwah di institusi pengajian tinggi (IPT).
Hasrat itu dizahirkan dalam sesi kunjung hormat delegasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan ke ibu pejabat YADIM, di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut disambut oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, bersama Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda, Ustaz Ab Razak Aripin serta Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Antarabangsa YADIM, Encik Mohammad Hafez Azmi.
Delegasi GDM pula diketuai oleh Ketua Pengarah Eksekutifnya, Haji Abdul Ghaffar Sharif; Setiausaha Agung, Puan Ain Sumayah; serta barisan Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Puan Zaiton Ismail, Encik Ab Rahim Abdul Hamid, dan Encik Wan Burhan Wan Ismail.
Dalam pertemuan tersebut, GDM berkongsi pengalaman luas mereka menerusi 12 cawangan di seluruh negara dalam menggerakkan program kesedaran Islam, menyantuni masyarakat bukan Islam, serta membimbing golongan mualaf.
Kedua-dua pihak turut sepakat mengenai keperluan menerapkan pendekatan dakwah yang berhikmah, khususnya dalam menangani salah faham terhadap Islam agar mesej agama dapat diterima baik oleh masyarakat majmuk.
Pertemuan ini turut membuka ruang kerjasama baharu merangkumi program daie komuniti, perkongsian kemahiran dakwah, serta penganjuran program bersepadu demi memperluas jaringan dakwah di peringkat akar umbi.



KOMEN