Home » Langit Terbuka » Haji 2024: Semua 25 syarikat PJH sedia pakej Rahmah bawah RM50,000

Haji 2024: Semua 25 syarikat PJH sedia pakej Rahmah bawah RM50,000

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (dua, kiri) bergambar bersama Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun K C Ahmmu (dua, kanan) selepas sidang media Majlis pra-pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali kedua di sebuah hotel hari ini.

KUALA LUMPUR: Semua 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) bersetuju untuk meneruskan tawaran Pakej Rahmah dengan harga bawah RM50,000 bagi musim haji tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata semua PJH yang dilesenkan memberi jaminan bahawa mereka menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan pakej terbabit kepada bakal jemaah yang memilih untuk tidak menunaikan ibadat haji menerusi pakej Muassasah TH.

“TH sudah meminta semua PJH adakan Pakej Rahmah seperti tahun lalu, Alhamdulillah mereka semua menyambut usaha ini. PJH memainkan peranan dalam membantu bakal haji dengan menyediakan pakej pada harga munasabah dan setiap PJH akan tawarkan Pakej Rahmah, selain pakej lain yang mereka sediakan.

“Bawah RM50,000 adalah harga yang munasabah. Jika kita lihat, bayaran penuh bagi jemaah Muassasah pada tahun lalu adalah RM30,850. Jadi, bakal jemaah yang pilih untuk menunaikan haji menerusi PJH hanya perlu tambah sedikit sahaja sudah dapat pergi melalui Pakej Rahmah,” katanya pada sidang media prapelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bakal jemaah yang terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini hanya memilih pakej disediakan oleh 25 PJH yang dilesenkan agar tidak menjadi mangsa tipu.

“Kita tidak mahu ada bakal haji yang diperdaya atau menerima perkhidmatan yang kurang daripada apa yang telah mereka janjikan. TH menilai syarikat yang mempunyai kewibawaan, kewangan yang kukuh serta pengurusan dan pengalaman yang baik sebelum memilih mereka sebagai PJH.

“TH akan memastikan perkhidmatan dan kemudahan yang dijanjikan PJH dalam tawaran pakej semuanya disampaikan kepada para jemaah…kami menubuhkan pasukan pemantau untuk tujuan ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan membuat pengumuman mengenai harga atau bayaran bagi pakej Muassasah serta pengeluaran surat tawaran kepada mereka yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini dalam masa terdekat.

Mengenai penganjuran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024, Syed Saleh berkata ia akan diadakan di Movenpick Hotel and Convention Centre di Sepang, Selangor pada 19 hingga 21 Januari ini.

Menurutnya, karnival yang menyediakan 140 reruai daripada syarikat berkaitan urusan haji termasuk 25 syarikat PJH itu dianjurkan bagi menyediakan peluang kepada bakal jemaah untuk memilih dan membandingkan pakej yang disediakan PJH.

“Karnival ini juga adalah usaha serampang dua mata iaitu selain mempromosikan pakej haji, umrah dan pelancongan, ia juga satu platform untuk menyampaikan kepada orang ramai bahawa hanya syarikat berlesen sahaja yang boleh menyediakan perkhidmatan pengelolaan haji,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *