Home » Langit Terbuka » Surat tawaran haji akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat – TH

Surat tawaran haji akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat – TH

Foto Hiasan.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan surat tawaran menunaikan ibadat haji bagi musim 1445/2024 sedang dalam proses penilaian terakhir dan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata pengumuman mengenainya akan dibuat sedikit masa lagi.

“Surat tawaran haji (akan dikeluarkan) dalam masa yang amat terdekat, ia (ketika ini) masih lagi dalam proses akhir.

“Kita akan buat pengumuman mengenainya,” katanya pada sidang media bersempena Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun KC Ahmmu.

Mengenai kos haji bagi musim kali ini, Syed Saleh mengakui akan berlaku kenaikan dengan memaklumkan perkara itu di luar kawalan TH.

“Sudah tentu kos haji setiap tahun meningkat dan ini didorong oleh pelbagai aspek, terutama inflasi dengan pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) di Arab Saudi dan pergerakan mata wang asing di antara Ringgit Malaysia (RM), Riyal (Arab Saudi) dan Dollar, Amerika Syarikat.

“Ini semua antara isu yang akan memberi impak impak kepada kos haji dan ia di luar kawalan pihak TH,” katanya.

Beliau turut merungkai kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai perbezaan di antara bayaran dan kos haji.

“Jangan keliru, kos haji ini adalah kos sebenar bagi seorang jemaah itu menunaikan ibadat itu, manakala bayaran haji adalah kadar yang kita kenakan kepada jemaah. Ia dua perkara berbeza.

“Untuk makluman, kos haji tahun lalu adalah RM30,850, namun untuk tahun ini dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, 25 syarikat pelancongan tempatan yang diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) akan meneruskan tawaran Pakej Rahmah untuk jemaah dengan harga di bawah RM50,000.

Katanya, kadar itu adalah munasabah mengambil kira kos haji semasa yang terus meningkat.

“TH sudah meminta supaya semua PJH mengadakan Pakej Rahmah seperti tahun lalu dan alhamdulillah mereka menyambut baik untuk meneruskan tawaran itu untuk kali kedua.

“Kalau kita lihat sebelum ini, PJH menetapkan harga mengikut pakej yang mereka sediakan untuk bakal haji, ada yang sehingga RM200,000, malah mencecah RM250,000.

“Justeru, TH mahu PJH juga memainkan peranan untuk membantu bakal haji dengan menyediakan pakej pada harga munasabah,” katanya.

Mengulas penganjuran Karnival PJH yang akan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC), Sepang, beliau berkata, ia bermatlamat memperkenalkan syarikat PJH khususnya kepada bakal jemaah haji dan pelbagai tawaran pakej yang disediakan.

Katanya, karnival diadakan buat kali kedua itu pada Jumaat bakal disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ia menyediakan 140 reruai termasuk 25 syarikat PJH, selain turut disertai pempamer lain dalam kalangan syarikat seperti Bank Islam, AMAL (Malaysia Airlines), Takaful Malaysia Berhad dan Saudi Tourism Authority.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *