Home » Langit Terbuka » Hak bertudung dipertahankan

Hak bertudung dipertahankan

Datuk Azizah Mohd. Dun

Kebebasan amalan agama wanita Islam termaktub dalam Perlembagaan

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Hak pekerja wanita beragama Islam yang bertudung di negara ini perlu dipertahankan selari dengan kebebasan amalan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan serta-merta ke atas 13 hotel bertaraf empat dan lima bintang yang mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja.

“Siasatan yang dilakukan sebelum ini mendapati terdapat 13 hotel yang mengamalkan polisi larangan bertudung. Jadi kesemua pengusaha hotel-hotel terlibat perlu dipanggil selain mengeluarkan arahan supaya mereka membatalkan polisi tersebut dengan segera.

“Penerangan yang menyeluruh perlu diberikan kepada pengusaha hotel-hotel terbabit bahawa larangan yang diamalkan dalam perniagaan masing-masing itu bersifat diskriminasi terhadap golongan wanita dan ia sama sekali tidak boleh diamalkan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan beberapa NGO dan kesatuan sekerja berpengaruh di negara ini memberi kata dua kepada Kementerian Sumber Manusia supaya menyelesaikan segera isu larangan pekerja Islam bertudung di sektor perhotelan tanpa perlu menunggu sehingga Akta Kerja 1955 dipinda.

NGO terbabit yang diketuai Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mahu kementerian terlibat mengarahkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) membatalkan serta-merta larangan yang jelas bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu Azizah yang juga Naib Ketua Wanita UMNO memberitahu, pihaknya bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

“Buat masa ini, kementerian belum menerima sebarang aduan atau laporan daripada mangsa namun bersedia untuk bekerjasama bagi menyelesaikan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *