Home » Langit Terbuka » Ubat dan vaksin Kementerian Kesihatan halal: Dr Hilmi

Ubat dan vaksin Kementerian Kesihatan halal: Dr Hilmi

GEORGETOWN 27 Jan.  – Kementerian Kesihatan menegaskan semua ubat-ubatan dan vaksin yang diberikan kepada pesakit adalah halal dan selamat digunakan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya  berkata dakwaan menyatakan terdapat ubat-ubatan dan vaksin yang diberikan oleh kementerian itu mengandungi ‘deoxyribonucleic acid’ (DNA) babi adalah tidak berasas.

“Dulu lagi kita dengar ada kumpulan tertentu yang anti vaksin kerana mendakwa ia mengandungi DNA babi tapi sekarang ini timbul pula isu kata bukan sahaja vaksin malah ubat-ubatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan turut mengandungi perkara sama (DNA babi).

“Mereka yang membuat tuduhan itu tidak mendapatkan maklumat yang betul dan sahih hanya mencari ia (maklumat) menerusi Internet sahaja. Mudah untuk mereka jadi ‘doktor google’ dan bagi maklumat tidak betul kepada masyarakat. Apa yang mengecewakan saya ada segelintir masyarakat  kita yang percaya,” katanya ketika berucap  pada Majlis Ramah Mesra Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Sementara itu, Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata hampir 90 peratus daripada 856 klinik kesihatan di seluruh negara telah menubuhkan PPKK yang dilihat dapat mengukuhkan lagi strategi untuk menggembleng penglibatan komuniti bagi menyebarkan perkhidmatan kesihatan seluas mungkin.

Beliau berkata PPKK yang dilancarkan pada 1995 dan mempunyai 14,665 anggota panel itu juga bertujuan memupuk kerjasama erat antara masyarakat serta anggota kesihatan demi meningkatkan kesihatan komuniti setempat.

“PPKK memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi kepada Kementerian Kesihatan dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu melalui perkongsian pintar, melatih masyarakat memperkasa dalam penjagaan kesihatan diri dan sekali gus mengubah tingkah laku ke arah hidup yang sihat,” katanya.

Beliau berkata bagi menyokong usaha PPKK dalam menjalankan aktiviti mereka, Kementerian Kesihatan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi setiap klinik yang mempunyai panel berkenaan dan tahun lepas sahaja sebanyak RM4.175 juta telah disalurkan kepada mereka. – Bernama

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *