Home » Langit Terbuka » Hasil kajian indeks syariah diketahui akhir tahun

Hasil kajian indeks syariah diketahui akhir tahun

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Keputusan penyelidikan mengenai urusan pentadbiran negara yang diukur melalui Indeks Syariah Malaysia (ISM) akan diketahui akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata penyelidikan itu merangkumi lapan sektor utama iaitu undang-undang, ekonomi, kesihatan, pendidikan, politik, sosial, budaya dan prasarana persekitaran.

“Pada masa ini, penyelidikan mengenai urusan tadbir mengikut ISM masih dalam fasa penyelidikan dan keputusan itu akan melihat sejauh mana pelaksanaan pentadbiran di negara ini menepati syariah,” katanya kepada pemberita pada majlis ‘Lambaian Kasih Sanjungan Budi’.

Majlis itu diadakan sebagai penghargaan kepada Asyraf Wajdi yang pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dari tahun 2013-2015.

Katanya penyelidikan ISM dilakukan oleh lima universiti awam iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Dilancarkan pada Februari lepas oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak, ISM adalah inisiatif terkini kerajaan dalam memastikan tadbir urus negara sentiasa berada di landasan tepat dan selari dengan tuntutan agama Islam serta mengukur sejauh mana kedudukan negara dalam menjalankan pentadbiran berteraskan prinsip maqasid syariah.

Ditanya mengenai pelarian Syria yang akan memasuki negara ini dan dikhuatiri membawa pengaruh fahaman Syiah, Asyraf Wajdi menjelaskan belum ada perbincangan khusus berhubung perkara itu.

“Tiada perbincangan lagi tentang isu melibatkan pengaruh dan anasir luar menjurus ke arah tidak baik yang akan dibawa oleh mereka (pelarian Syria) kerana masih di peringkat awal, namun saya tidak bimbang mengenai perkara itu kerana negara kita mempunyai undang-undang untuk mengatasinya,” kata beliau.

Pada 2 Oktober lepas, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria bagi membantu meringankan krisis pelarian itu. — Bernama

Sumber daripada www.malaymailonline.com

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *