Home » Langit Terbuka » Hati-hati keluar kenyataan isu akidah

Hati-hati keluar kenyataan isu akidah

ALOR SETAR 19 Sept. – Golongan ulama perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan isu akidah kerana ia boleh mengelirukan umat Islam selain dibimbangi dimanipulasi pihak tertentu dalam usaha  mengembangkan ajaran bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Presiden Pertubuhan Kebajikan Asatizah Kebangsaan (Pasak), Mohd Khalil Munawwar Ahmad Masduki berkata, pihaknya terkejut dan terkilan berhubung kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengatakan Syiah masih tergolong dalam Islam.

“Walaupun beliau menegaskan kita tidak boleh mengkafirkan sesiapa namun dari aspek fahaman dan amalan Syiah jelas menyimpang bahkan terkeluar dari agama Islam. Ini dibuktikan dalam kitab-kitab ulama Syiah menyatakan beberapa fatwa dan pandangan yang jelas mengenai kekufuran Syiah terhadap ALLAH dan Rasul,” katanya.

Menurutnya, muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menegaskan Syiah adalah haram untuk diikuti, disebarkan atau diamalkan.

“Fatwa pengharaman ini harus diikuti dan disepakati bersama oleh mufti setiap negeri tanpa perlu wujudnya percanggahan pendapat, kelak menimbulkan perselisihan dan perpecahan sesama umat Islam,” katanya.

Mohd Khalil Munawwar berkata, Pasak berharap jabatan mufti setiap negeri peka dan prihatin terhadap usaha penyebaran Syiah yang semakin membimbangkan kini.

Sebelum ini, Wan Salim dalam satu portal dilaporkan berkata, aliran Syiah tetap sebahagian daripada Islam walaupun ada perbezaan besar dengan ASWJ.

Beliau dipetik berkata, sikap saling mengkafirkan atas perbezaan mazhab itu hanya bermanfaat kepada pihak yang mahu mengaut keuntungan melihat Islam berpecah.

Sementara, Timbalan Yang Dipertua, Persatuan Ulama Kedah (PUK), Abdullah Din berkata, walaupun pengikut fahaman Syiah juga mengerjakan ibadah sama seperti ASWJ, iaitu solat, berpuasa, mengerjakan haji dan membayar zakat, namun golongan itu disifatkan bukan Islam apabila mencerca para sahabat Rasulullah SAW.

“Islam kah mereka yang memaki hamun Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Uthman Affan dan Sayyidatina Aishah. Golongan yang cerca para sahabat tidak boleh diberi ruang sekiranya mahu Islam terpelihara,” katanya.

Menurutnya, pandangan seperti itu yang bebas disebarkan boleh mengelirukan masyarakat termasuk mempengaruhi pemikiran anak muda.

“Kita perlu peka terhadap perkara yang boleh membatalkan akidah. Mereka terkeluar dari Islam jika melakukan perkara yang membatalkan Islam,”katanya.

-Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *