Home » Langit Terbuka » Hentikan aktiviti khurafat di Gunung Jerai

Hentikan aktiviti khurafat di Gunung Jerai

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika sesi taklimat tentang tragedi geologi di Yan. - Foto YADIM

YAN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad mahu aktiviti pemujaan dan khurafat di Gunung Jerai di sini dihentikan segera kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

 

Beliau berkata, mereka yang terlibat dengan aktiviti itu perlu menghentikan amalan itu bagi memastikan tidak berlaku lagi ‘bala’ akibat perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam di gunung tersebut.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, aktiviti itu tidak sepatutnya berulang lagi kerana ia merupakan amalan yang tidak baik dan boleh merosakkan akidah dan pegangan agama seseorang.

 

“Saya yakin dan percaya di Kedah ini ramai dalam kalangan tok-tok guru, para alim ulama yang banyak memainkan peranan untuk menghilangkan sikap khurafat seperti ini.

 

“Kita harapkan supaya benda-benda ini dihentikan kerana apabila datang bala Allah ini, dia tidak kena kepada orang yang buat itu (khurafat) sahaja tetapi kepada semua orang,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang terjejas dalam kejadian kepala air di Titi Hayun di sini hari ini.

 

Idris sebelum itu menyampaikan Sumbangan Musa’adah Bencana Banjir Kepala Air bernilai sebanyak RM516,600 kepada mangsa tragedi itu.

 

Sumbangan tersebut hasil bantuan pelbagai bentuk barangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)/Yayasan Taqwa.

 

Sebelum ini aktiviti seperti bertapa, memuja nombor ekor dan mandi bunga dikatakan banyak dilakukan golongan tidak bertanggungjawab terutama di Telaga Tok Sheikh di puncak gunung tersebut.

 

Ketika ditanya berhubung tindakan penguatkuasaan bagi mengelakkan gunung tertinggi di negeri ini itu terus menjadi tumpuan sebilangan individu melakukan aktiviti khurafat, kata beliau, pihaknya percaya jabatan agama negeri telah dan akan terus bertindak dalam menangani itu tersebut.

 

“Saya yakin dan percaya tindakan itu (menghentikan aktiviti pemujaan dan khurafat)  sudah dan sedang diambil pihak agama di daerah ini,” ujarnya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *