Home » Langit Terbuka » Hentikan segera konflik Syria

Hentikan segera konflik Syria

Rakyat Syria berdepan de­ngan penderitaan ekoran kega­nasan yang berlaku sepanjang perang tercetus. Foto : uccexpress.ie

Penglibatan Israel cetus ketegangan baharu

NEW YORK 11 Feb. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya satu pendekatan penyelesaian segera dilakukan di Syria selepas Israel melancarkan serangan di negara bergolak itu semalam.

Jurucakapnya, Stephen Dujarric menerusi satu kenya­taan memaklumkan, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memandang serius mengenai peningkatan operasi ketenteraan di seluruh Syria termasuk bahaya yang semakin memuncak di sekitar pintu sempadan negara tersebut.

“Guterres menegaskan semua pihak berkaitan dan yang berada di Syria perlu mematuhi undang-undang antarabangsa, selain menggesa supaya satu pendekatan penyelesaian diambil untuk membendung pencerobohan ser­ta keganasan,” katanya.

Semalam, Syria menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Israel selepas rejim Zionis memintas dron Iran yang dilancarkan dari Syria dan menye­rang sasaran Iran di sana.

Insiden itu disifatkan paling serius melibatkan Iran dan Israel sejak tercetus­nya perang saudara di Syria hampir lapan tahun lalu.

Dalam pada itu, ke­nyataan itu juga menyebut bahawa rakyat Syria berdepan de­ngan penderitaan ekoran kega­nasan yang berlaku sepanjang perang tercetus.

“Dianggarkan lebih 1,000 kematian melibatkan penduduk awam akibat serangan udara dalam minggu pertama bulan ini,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, Guterres menggesa supaya semua pihak mencari penyelesai­an politik bagi menamatkan konflik tersebut.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menyata­kan tiada sebarang perancangan segera untuk mengadakan mesyuarat tergempar dan badan itu dijangka membincangkan hal tersebut di Syria pada Rabu depan.

Dalam perkembangan sama, Pre­siden Rusia, Vladimir Putin memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya mengelakkan sebarang langkah yang mendorong kepada timbulnya ketegangan baharu di Syria.

Perkara itu dinyatakan Putin ketika menghubungi Netanyahu melalui panggilan telefon, hari ini.

Agensi berita Interfax melaporkan, kedua-dua pemimpin itu membincangkan tentang serangan yang berlaku, selain meyakinkan antara satu sama lain untuk mengelak daripada mengambil sebarang langkah yang boleh mewujudkan konfrontasi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (UNCHR), Zeid Ra’ad Al Hussein menyatakan, seramai 230 penduduk awam dilaporkan terbunuh akibat serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Syria dan Rusia dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Jelas beliau, pihaknya mene­rima beberapa laporan me­ngandungi video yang memaparkan penggunaan senjata kimia di sebuah kubu militan di pekan Saraqeb di wilayah Idlib.

“Selepas hampir lapan tahun, situasi di Syria perlu dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa, selain dilihat banyak usaha dari negara lain untuk mem­bawa keamanan di negara tersebut,” katanya. – AFP/REUTERS

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *