Home » Persuasif » Kes Indira Gandhi dari kaca mata bukan Islam dan mualaf

Kes Indira Gandhi dari kaca mata bukan Islam dan mualaf

KES Indira Gandhi-Muhammad Riduan Abdullah atau K. Pathmanathan  sudah diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu, dan ia telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pihak-pihak berkaitan.

Kes ini walaupun pada awalnya sekadar isu keluarga melibatkan perceraian dan pertukaran agama, namun banyak pihak melihat penghakiman kes ini telah memberikan implikasi yang besar.

Bagaimanapun, ada juga pihak yang melihatnya dari sudut positif terutama apabila ia membuatkan umat Islam seolah-olah tersedar bahawa terdapat banyak kelompongan dalam undang-undang yang perlu diperbaiki.

Bagi golongan mualaf, kes berkenaan dianggap terlalu dekat dengan mereka dan mereka amat memahami situasi yang dialami oleh Muhammad Ridzuan.

Ridhuan Tee

Ahli akademik, Ridhuan Tee Abdullah berkata, beliau dapat membanyangkan betapa sukarnya kehidupan Muhammad Ridzuan sejak menghilangkan diri bersama anaknya pada 2014 lalu

`Sebagai seorang mualaf, saya dapat bayangkan betapa sukarnya kehidupannya yang mungkin dalam ketakutan demi menyelamatkan diri dan anaknya,’’ katanya.

Ridhuan bagaimanapun enggan mengulas isu berkenaan dari sudut perundangan kerana beliau bukanlah pakar undang-undang tetapi menekankan bahawa episod berkenaan menunjukkan bahawa sudah sampai masanya pihak berkuasa merangka satu undang-undang yang melindungi saudara baru agar mereka sentiasa berasa selamat.

Katanya, sepatutnya apabila mereka memeluk Islam, seseorang mualaf itu akan berasa selamat tetapi keadaan sebaliknya berlaku.

“Apabila seseorangitu memeluk Islam biasanya kehidupannya akan bertukar seratus peratus apabila tidak lagi diterima oleh keluarga sendiri, saudara mara, komunitinya dan sesetengahnya mendapat ancaman.

“Justeru, amatlah perlu satu undang-undang dibuat untuk membela nasib saudara baru. Sokongan pelbagai pihak amatlah perlu bagi membantu saudara baru terutama pada peringkat awal pengislamannya,’’ katanya.

Dr. Balachandran G. Krishnan

Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Dr. Balachandran G. Krishnan berkata, kebanyakan orang bukan Islam menghormati agama dan orang Islam, tetapi pandangan mereka terhadap Islam seringkali dikelirukan oleh orang Islam sendiri.

Beliau berkata, ramai orang bukan Islam merasakan bahawa orang Islam sering bertelingkah antara satu sama lain dan lebih mengelirukan lagi terdapatnya undang-undang yang berbeza di setiap negeri sehingga memberikan imej negatif kepada Islam sendiri.

“Saya amat percaya dengan konsep rahmatul lil alamin dalam Islam, kerana agama Islam sememangnya agama yang membawa kebaikan.

“Namun seringkali, orang Islam di negara ini gagal memberikan pendekatan yang betul bagi menunjukkan bahawa agama Islam itu sebagai memberi rahmat kepada semua,’’ katanya.

Beliau berkata, prinsip-prinsip keadilan dalam Islam perlulah ditonjolkan dengan sebaik-baiknya oleh orang Islam terutama agensi-agensi yang berkaitan.

Katanya, apa yang berlaku dalam kes Indira Gandhi jelas menunjukkan orang Islam di negara ini gagal menggunakan pendekatan yang baik selaras dengan ajaran agama sehingga menyebabkan masalah tidak selesai.

Menurutnya, seharusnya kes berkenaan diselesaikan daripada peringkat awal lagi apabila Muhammad Ridzuan membawa anak bongsunya dan gagal dikesan sehingga kini.

“Saya pasti, sekiranya mengikut ajaran agama yang sebenar kes ini akan dapat diselesaikan dengan baik, tetapi umat Islam tidak melihat perkara berkenaan di peringkat awal.

“Setelah kes ini berlarutan sehingga akhirnya Mahkamah Persekutan membuat keputusan pada 29 Januari lalu, maka ketika itu sukar dicari jalan penyelesaian,’’ katanya.

Harun Abdullah

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Saudara Baru Berketurunan India Selangor, Harun Abdullah berkata, isu berkenaan tidak akan berlarutan sekiranya para peguam yang mengendalikan kes berkenaan memahami isu-isu berkaitan saudara baru.

“Banyak perkara yang umum tidak mengetahui mengenai saudara baru dan isu-isu yang melingkari kehidupan mereka selepas memeluk Islam.

“Justeru, sewajarnya, pihak peguam terbabit kes berkenaan mendapat pandangan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam terutama badan yang berurusan secara terus dengan golongan mualaf,’’ katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang mualaf beliau memahami situasi yang dialami Muhammad Riduan dan bagaimana kepayahan yang dihadapi dalam berhadapan dengan pelbagai pihak dan agensi kerajaan.

“Kebanyakan mualaf akan menghadapi masalah apabila mereka dipulau bukan sahaja oleh ahli keluarga malahan penduduk setempat,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, dalam situasi berkenaan seorang mualaf amat memerlukan sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak termasuk agensi agama.

Namun katanya, amat malang apabila mereka dipayahkan dengan karenah birokrasi dan peraturan yang berbeza di antara negeri-negeri di Malaysia ini menyebabkan pergerakan mereka terbatas dan menghadapi masalah.

Beliau berkata, apa yang berlaku terhadap Muhammad Ridzuan adalah sanagat menyedihkan kepada semua pihak.

“Seharusnya kes sebegini boleh menjadikan satu batu loncatan untuk kita memperlihatkan keindahan Islam sebagai sebuah agama yang mudah dan boleh sentiasa berunding,’’ katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *