Home » Persuasif » Hijrah, Berubah Kepada Lebih Baik

Hijrah, Berubah Kepada Lebih Baik

Oleh KHALEED HAFIDZ

Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berpendapat bahawa sambutan tahun baru dengan berhimpun beramai-ramai untuk mengira detik 12 malam tidak lagi sesuai sambil menambah pendekatan baharu yang lebih bermakna tanpa meniru budaya Barat amat diperlukan (“Ubah cara sambut 1 Januari,” Utusan Malaysia, 30 Disember 2007).

Pendapat beliau disokong Profesor Datuk Dr. Khoo Kay Kim yang berharap sambutan tahun baru dapat disambut dengan pengisian aktiviti yang lebih berfaedah dan tidak melalaikan yang akan hanya mengundang perlakuan yang lebih buruk lagi terutamanya lepak dan seks bebas.

Kedua-dua tokoh itu bersetuju bahawasanya acara sambutan tahunan yang diadakan ini adalah tidak bermakna dan mengandungi aktiviti yang tidak berfaedah dan tersasar dari budaya ketimuran yang mana akhirnya akan hanya mengundang kepada perlakuan sumbang dan keji para muda-mudi.

Pandangan daripada tokoh-tokoh ini dilontarkan lantaran sambutan yang diraikan adalah bersifat stereotaip. Acapkali sambutan dihidangkan dengan persembahan para artis dengan hiburan dan konsert mega sehingga larut malam sambil menungu acara kemuncaknya iaitu percikan bunga api yang menjulang menerangi kepekatan malam.

Sambutan sebegini sudah menjadi pentas golongan muda-mudi bermandikan peluh maksiat lebih hebat daripada hari-hari biasanya. Pergaulan bebas tanpa batasan ditambah pula dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menganjurkan pesta terbuka dengan menu arak sebagai ‘minuman rasmi’ sambutan memudaratkan lagi keadaan.

Pergaulan bebas ini, ‘dihangatkan’ dengan pengaruh arak sudah pasti akan membawa kepada pesta seks bebas. Sambutan tahun baru juga tidak kurang dengan perlakuan muda-mudi yang bergelumang dengan najis dadah dan aktiviti menghidu gam yang dilakukan secara terang-terangan tanpa hadir rasa bersalah di atas perlakuan mereka itu.

Satu lagi kegilaan muda-mudi pada malam tahun baru adalah berlumba haram atau lebih dikenali sebagai ‘berempit’. Pelbagai aksi berani dipamerkan yang berupaya mengundang bahaya bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada pengguna jalan raya dan orang ramai yang berpusu-pusu pada malam sambutan tahun baru itu.

Justeru adakah kita masih tidak sedar bahawasanya sambutan tahun baru yang dirayakan dan dianjurkan saban tahun ada bahagiannya yang tidak selaras dengan kehendak Islam serta menyimpang daripada budaya dan adat kesopanan orang timur? Adakah kita mahu dan rela muda-mudi bangsa melalaikan dan merosakkan diri mereka sendiri setiap kali tibanya sambutan tahun baru?

Timbul juga persoalan bagaimana umat Islam menyambut tahun baru Hijrah (Awal Muharam)? Tidak dapat dinafikan, kalendar Gregorian lebih meluas penggunaannya di seluruh dunia. Mahu tidak mahu, orang Islam terpaksa menerima penggunaan kalendar tersebut dalam setiap urusan seharian mereka.

Menyorot sejarah penggunaan kalender Gregorian hanya mula digunakan secara rasmi pada 1582 selepas melalui beberapa pengubahsuaian oleh Pope Greogory. Manakala Takwim Hijrah mula diperkenalkan ketika pemerintahan Khalifah Islam kedua, Saidina Umar Ibn al-Khattab. Takwim Hijrah dipilih bersempena penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dari Mekah Mukarramah ke Madinah Munawwarah.

Tidak kira sama ada menyambut tahun baru ataupun Awal Muharam, kedua-duanya membawa satu penekanan iaitu setiap individu akan mengalami suatu proses penghijrahan dari satu tahun ke tahun yang berikutnya sama ada telah bersedia atau telah berjaya mencapai azam lalu ataupun tidak.

Tahun baru sepatutnya disambut dengan azam; penghijrahan untuk memperbaiki dan melestarikan nilai diri dan kehidupan dengan merenung kepada pencapaian tahun lalu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Hashr: 18).

Seperti peristiwa penghijrahan Rasullullah SAW, penghijrahan ini adalah suatu tuntutan agama yang berkehendakkan kepada umat Islam berhijrah daripada belenggu kejahilan, kemunduran, persengketaan dan permusuhan kepada kemuliaan, kemajuan dan persaudaraan. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Habsyi yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.”

Manakala Saidina Umar pula mengungkapkan kata-kata yang bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.” Celaan Saidina Umar ini memperlihatkan betapa umat perlu kepada penghijrahan dengan menilai setiap gerak geri dan perlakuan sehariannya agar tidak terarah kepada perkara-perkara yang lalai dan tidak berfaedah.

Justeru, pendekatan yang digunakan bagi menyambut tahun baru seharusnya dikaji dengan lebih teliti bagi memastikan ia senantiasa berada dilandasan agama dan budaya dan tidak hanya sekadar sambutan yang melalaikan tanpa diterapkan di dalam sanubari rasa keinsafan dan semangat baru bagi mengatasi pencapaian lalu.

Rasa keinsafan dan semangat baharu ini hanya dapat diisi oleh mereka yang sanggup serta dengan penuh kesungguhan untuk berubah kerana Allah SWT tidak akan mengubah nasib hamba-hamba-Nya jika mereka sendiri tidak mempunyai semangat dan iltizam untuk berubah. Dengan semangat sedemikian, nescaya berubahan yang dibawa, akan memberi makna yang besar bukan sahaja kepada diri, tetapi juga keluarga, bangsa, agama dan negara tercinta.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat).

Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (al-Hadid : 20).

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *