Home » Persuasif » Hijrah menyelamatkan akidah

Hijrah menyelamatkan akidah

Oleh Mohd Shauki Majid

Kemunculan bulan Muharam pada tahun ini bermakna umat Islam telah memasuki tahun baru Hijrah 1438 dalam kurun ke-15 menurut kalendar Islam. Mengingati peristiwa hijrah ini ia sebenarnya mengandungi pengertian dan pengajaran yang amat luas. Sejarah mencatatkan bahawa peristiwa hijrah ini amat besar ertinya bagi perjuangan Rasulullah s.a.w. khususnya, dan umumnya kepada seluruh umat Islam. Peristiwa ini juga bertujuan merubah strategi perjuangan Nabi s.a.w. dalam menegakkan syiar Islam.

Dalam meneruskan perjuangan Islam ini tiada bekalan yang paling utama selain daripada akidah itu sendiri. Hijrah sebenarnya menggambarkan perjuangan untuk menyelamatkan akidah.

Perjuangan menegakkan akidah umat Islam di negara ini harus dihadapi dengan perjuangan dan keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita. Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa ketika saat hijrah Rasulullah s.a.w. ia adalah satu kemenangan walaupun ketika itu pada pandangan kita kemenangan itu belum dicapai.

Kalau kamu tidak menolong (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya. “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkan dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. – (Surah al-Tawbah ayat 40).

Keteguhan akidah atau agama seseorang itu diukur ketika saat ditimpa musibah bukan saat atau suasana kemenangan atau kejayaan. Semua akan memeluk satu akidah bila melihat kejayaan namun belum tentu demikian bila mengalami penderitaan.

Akidah atau tauhid adalah sesuatu yang paling berharga kepada umat Islam. Nabi s.a.w. diutus untuk membawa manusia kepada akidah yang sebenar. Dalam Islam, iman yang berlandaskan akidah adalah menjadi asas sesuatu amalan, di mana amalan-amalan seseorang tidak akan diterima oleh Allah kecuali amalan-amalan yang dilakukan oleh orang yang beriman berlandaskan akidah.

Dari segi realiti apa yang berlaku di negara kita terdapat gerakan-gerakan politik yang telah mengutamakan kepentingan politik daripada agama Islam itu sendiri sehingga lahir fatwa-fatwa karut yang boleh memesongkan akidah mereka.

Akibatnya, kita dapat melihat begitu banyak sekali penyelewengan akidah baik daripada amalan syirik besar dan kecil tanpa disedari oleh pengikut awam. Semua ini berpunca daripada amalan mentaati semua fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi sesebuah parti politik.

Adalah tidak wajar kepada mana-mana golongan, misalnya mencampuri urusan Allah berhubung dengan perkara-perkara yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t. seperti iman dan kufur, syurga dan neraka atau masa depan seseorang itu masuk syurga atau neraka, kerana ia juga dikategorikan sebagai penyelewengan akidah dalam mencapai sesuatu tujuan. Dalam Islam memfatwa dengan menafikan akidah sesama Islam secara rambang dan mudah adalah terkeluar daripada sunah Rasulullah s.a.w.

Islam amat ketat untuk menentukan seseorang itu terkeluar daripada akidah atau murtad, kecuali setelah dia terang-terangan menunjukkan pengkhianatannya terhadap akidah Islam. Itupun setelah dinilai dengan saksama oleh orang yang ahli dalam bidang tersebut.

Demikian juga Pusat Pemulihan Akidah yang dikawal selia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memainkan peranan yang lebih aktif khususnya dalam memulihkan akidah orang yang telah murtad atau mereka yang terpengaruh dengan ajaran sesat. Ini bertujuan bagi memastikan mereka benar-benar bertaubat dan kembali ke jalan benar dan diredhai Allah. Begitu juga dengan gerakan antihadis yang dianggap telah menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Apa yang membimbangkan kita, gejala penyelewengan akidah akhir-akhir ini kian menular di kalangan masyarakat Melayu Islam. Kenyataan dari Jakim bahawa masih terdapat 11 ajaran sesat yang masih aktif, sewajar diberi perhatian dan diambil tindakan tegas oleh jabatan-jabatan agama Islam negeri di mana ajaran-ajaran sesat itu beroperasi.

Golongan yang menolak atau tidak menerima hadis adalah salah satu daripada 50 kumpulan ajaran sesat yang telah dikenal pasti sebagai menyeleweng oleh Jakim dan pihak berkuasa agama negeri. Ajaran antihadis telah diwartakan sebagai bertentangan dengan agama Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan sejak 1987 dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 1988.

Kita yakin dan percaya bahawa umat Islam yang kuat pegangan akidahnya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang disebutkan itu. Ajaran Islam telah meletakkan ilmu sebagai suatu perkara yang penting dan utama dan mendapatkan ilmu melalui sumber rujukan yang muktabar sahajalah, umat Islam akan menjadi umat yang cemerlang dan digeruni.

Sempena tahun baru Hijrah 1438 ini kita harus berusaha melawan hawa nafsu yang cenderung mengajak manusia ke arah melakukan perkara-perkara kejahatan dan penyeleweng daripada lunas-lunas syariat. Kita tanamkan azam baru untuk mengamalkan secara bersungguh-sungguh perintah Allah seperti yang ditunjukkan oleh Baginda supaya amalan agama subur dalam diri umat Islam. Hijrah dari sifat jahil kepada sifat kecerdikan dan kepandaian. Ini semua merupakan maksud dan tuntutan hijrah dalam Islam. Maka hijrah dari satu amalan yang tidak diredhai Allah kepada suatu amalan yang dikehendaki-Nya adalah termasuk dalam maksud hijrah yang sebenar.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *