Home » Langit Terbuka » Hukuman penjara hina Nabi wajar

Hukuman penjara hina Nabi wajar

Jelas Peguam Haniff Khatri Abdulla h, keputusan Mahkamah Sesyen merupakan bukti ketegasan bahawa agama merupakan elemen tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan. - Foto MStar

PETALING JAYA – Pakar Perlembagaan tidak melihat keperluan mana-mana pihak mempertikaikan keputusan mahkamah menjatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan terhadap individu yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Shamrahayu Abd Aziz berkata, berdasarkan pertuduhan dikenakan terhadap individu terbabit iaitu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, ia merupakan hukuman yang paling minimum diberikan terhadapnya.

“Hukuman bagi Seksyen 298A Kanun Keseksaan secara umumnya menyatakan, 1 kesalahan tidak boleh kurang dari 2 tahun atau tidak lebih dari 5 tahun. Sekarang ini individu berkenaan dapat 10 tahun 10 bulan.

“Kita sebagai masyarakat perlu memahami undang-undang, kalau hendak kata banyak sangat hukuman, kena tengok juga berapakah kesalahan tertuduh dan ia turut dipersetujui oleh tertuduh. Jumlah keseluruhan adalah 10 kesalahan.

“Saya tidak nampak kewajaran mempersoalkan hukuman dikenakan, cumanya persoalan mungkin dibangkitkan sesetengah peguam adalah, kenapa hukuman tersebut dilakukan secara berasingan, mungkin perkara ini yang akan dibawa untuk rayuan,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Alister yang juga pemilik akaun Facebook “Ayea Yea” dijatuhi hukuman penjara 10 tahun 10 bulan atas 10 pertuduhan memuat naik komen berbentuk penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.

Mahkamah Sesyen yang membuat keputusan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998, turut mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.

Shamrahayu juga mengingatkan semua pihak untuk membuat laporan polis sekiranya melihat mana-mana individu menghina Islam, Nabi Muhammad dan mana-mana agama lain yang boleh menguguat keharmonian dalam negara.

“Kalau ada yang menghina agama, ia soal polis untuk bertindak, soal peguam negara untuk melaksanakan penyiasatan dan pendakwaan. Tidak perlu bandingkan kes ini dengan kes lain-lain kerana ia akan mendatangkan ketidakpercayaan masyarakat terhadap mahkamah.

“Tidak ada mana-mana pihak yang lebih tinggi dari undang-undang negara, ia dilakukan atas prinsip kedaulatan undang-undang yang memang sama rata kepada semua pihak,” katanya.

Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla turut berpandangan hukuman penjara selama 2 tahun bagi setiap 1 daripada 5 pertuduhan itu merupakan hukuman setimpal, memandangkan tuduhan terhadapnya merupakan perkara serius dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dia sudah mengaku salah atas 10 pertuduhan dikenakan terhadapnya, apabila sudah mengaku salah maka mahkamah tidak ada pilihan lain, mahkamah harus jatuhkan hukuman ke atas 10 pertuduhan.

“Mahkamah tidak jatuhkan hukuman maksimum penjara 5 tahun untuk 1 pertuduhan, cuba bayangkan kalau 1 pertuduhan dikenakan penjara selama 5 tahun, jika 5 pertuduhan dikenakan maka jumlah keseluruhan akan menjadi 25 tahun.

“Isunya sekarang, masyarakat ingat hina nabi kena penjara 10 tahun, bukan itu yang berlaku. Mahkamah jatuhkan hukuman penjara selama 2 tahun untuk 1 pertuduhan. Individu ini mempunyai 5 pertuduhan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelas Haniff, keputusan Mahkamah Sesyen merupakan bukti ketegasan bahawa agama merupakan elemen tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan, kerana jika ia digugat maka boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat, serta mampu menggugat kestabilan ekonomi negara.

“Agama sudah diiktiraf dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, ia berada di kedudukan tertinggi. Gangguan terhadap Islam atau mana-mana agama lain boleh menyemarakkan kemarahan dan menggugat keselamatan, maka mahkamah mestilah menjatuhkan hukuman secara berasingan.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas menyatakan Islam merupakan agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dalam negara. Sekiranya agama lain dihina, seperti memberi gelaran tidak elok kepada Nabi Isa atau Jesus, maka ia juga akan menimbulkan kemarahan penganut Kristian,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *