Home » Langit Terbuka » Subjek Tahfiz al-Quran ditawarkan dalam STPM 2020

Subjek Tahfiz al-Quran ditawarkan dalam STPM 2020

Pengerusi Jawatankuasa Sukatan Pelajaran Peperiksaan Tahfiz al-Quran STPM, berkata, pengenalan mata pelajaran baharu itu dalam STPM merupakan kesinambungan daripada pengajian pelajar-pelajar di peringkat SPM. - Foto UPTE Semarak

SERI KEMBANGAN – Mata pelajaran Tahfiz al-Quran buat pertama kalinya ditawarkan dalam Sijil Pemeriksaan Tinggi Malaysia (STPM) 2020 yang mana peperiksaan semester 1 akan bermula September ini.

Setakat ini, 80 calon telah mengesahkan diri untuk mengambil subjek berkenaan dan dijangka jumlah calon meningkat kepada 1,500 orang dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Sukatan Pelajaran Peperiksaan Tahfiz al-Quran STPM, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, pengenalan mata pelajaran baharu itu dalam STPM merupakan kesinambungan daripada pengajian pelajar-pelajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, ia dijangka dapat mengurangkan bilangan pelajar tahfiz tempatan ke luar negara untuk menyambung pelajaran selepas tamat SPM.

“Kita tengok jumlah pelajar ke luar negara untuk menyambung pelajaran dalam bidang tahfiz sangat ramai, jadi mengapa kita tidak tawarkan sahaja subjek tersebut di dalam negara?

“Yang keduanya, kita mahu memasyarakatkan tahfiz mengikut corak kita. Selama ini, mungkin kita pernah dengar pertikaian mengenai pelbagai sebutan semasa membaca al-Quran sehingga ada golongan yang mengatakan bacaan-bacaan tertentu adalah tidak sah maka dengan memasyarakatkan bacaan tersebut, kita boleh memberi pendidikan kepada orang ramai,” katanya semasa sidang media selepas pengumuman keputusan STPM 2018 di sini.

Tambah Zulkifli, calon-calon yang mengambil subjek tahfiz al-Quran dengan cemerlang turut berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati di negara-negara Komanwel.

Ini kerana peperiksaan STPM dipantau dan diiktiraf oleh Cambridge Assessment International Education.

“Kita mahu melahirkan generasi profesional seperti jurutera, peguam yang berakhlak mulia,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *