Home » Langit Terbuka » Industri perbankan Islam terus tawar pembiayaan kepada rakyat Malaysia yang layak

Industri perbankan Islam terus tawar pembiayaan kepada rakyat Malaysia yang layak

Presiden Persatuan Institusi Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia, Datuk Adissadikin Ali dalam satu kenyataan berkata, bank-bank berada dalam perniagaan yang menyediakan pembiayaan atau menyalurkan kredit di samping mematuhi kecenderungan risiko mereka masing-masing dalam keperluan berhemat. - Foto Al Tamimi & Company.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Institusi Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) memastikan bank-bank ahlinya akan terus menyediakan akses bagi produk dan perkhidmatan perbankan kewangan Islam kepada pelanggan dan perniagaan yang layak.

Ini susulan kekukuhan kewangan isi rumah Malaysia yang positif seperti diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini.

Presiden AIBIM, Datuk Adissadikin Ali dalam satu kenyataan berkata, bank-bank berada dalam perniagaan yang menyediakan pembiayaan atau menyalurkan kredit di samping mematuhi kecenderungan risiko mereka masing-masing dalam keperluan berhemat.

“Bank-bank Islam memberi jaminan bahawa pelanggan yang layak tidak akan disekat daripada akses kepada pembiayaan.

“Bagaimanapun, pelanggan perlu menyedari keperluan untuk membuat keputusan yang wajar berdasarkan kemampuan mereka sendiri dan sejajar dengan keadaan kewangan mereka, agar mereka tidak terbeban dengan obligasi kewangan mereka dan tidak berdepan kesukaran kewangan pada masa depan,” katanya.

Tahun lepas, bank-bank Islam meluluskan sejumlah RM37.7 bilion, merupakan 36.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan diluluskan perbankan bagi pembelian hartanah kediaman.

Ia juga meluluskan pembiayaan peribadi berjumlah RM12.4 bilion yang mana 58 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan peribadi diluluskan oleh industri perbankan.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain pelbagai penyelesaian pembiayaan yang ditawarkan, bank-bank Islam juga menyokong pembiayaan RM1 bilion dengan subsidi kadar keuntungan dua peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, katanya.

Adissadikin berkata, bank-bank Islam menyalurkan pembiayaan kepada PKS berjumlah RM3 bilion di bawah skim ini dan memberi manfaat kepada 1,447 PKS sejak 2012. – Bernama

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *