Home » Citra Yadim » “Ini rezeki berganda kami”

“Ini rezeki berganda kami”

SUNGAI BULOH -Si isteri memerhati sepenuh hati… Matanya berkaca melihat suaminya berjalan perlahan dengan ‘kaki’ baharunya. Kelihatan sukar, namun dengan keazaman tinggi kerana mahu kembali mencari rezeki untuk keluarga.

Buat kali pertama selepas dua tahun, suaminya berjalan selepas sebelum itu tidak berdaya berbuat demikian. Kaki kirinya sebelum itu dijangkiti kuman dan menjalani rawatan.

Pulih daripada rawatan itu, kaki kanan Ahmad Muhalid  Mohd Zawawi  pula terpaksa dipotong akibat kencing manis.

Sepanjang tempoh itu, Fatimah Umar menggalas tanggungjawab mencari nafkah keluarga dan pada masa yang sama menjaga suaminya.

Terpaksa berhenti kerja akibat perlu menumpukan perhatian untuk keluarga, Fatimah pernah cuba menjual nasi lemak, namun hanya dapat bertahan seketika. Ibu kepada lima anak ini bangkit dengan memulakan perniagaan pembersihan yang hingga kini bertahan dan menjadi sumber pendapatan keluarganya.

Di sebalik kejayaan itu, wanita yang menetap di Rawang ini berharap suaminya akan dapat kembali menikmati kehidupan seperti dahulu. Justeru apabila YADIM berkunjung menyampaikan sumbangan untuk keluarganya pada Julai lalu, dia memohon jasa baik agar suaminya dapat diberikan kaki palsu.

Gembira keluarganya apabila tidak lama kemudian dimaklumkan badan dakwah ini menerusi Tabung Dana Infaq YADIM akan menyumbang kaki palsu untuk suaminya.

Hari ini (17 Mac) menerusi inisiatif Bahagian Khidmat Bakti YADIM, Ahmad Muhalid telah menerima sumbangan kaki palsu untuk membangun semula kehidupannya. Bertempat di Aspo Prosthetics di sini, beliau juga menerima latihan ringkas bagi membantu menyesuaikan pergerakannya menggunakan kaki tersebut.

Pengerusi Aspo Prosthetics, Hashim Shuib memberikan tunjuk ajar dan panduan kepadanya agar segera Ahmad Muhalid menyesuaikan diri.

Menyifatkan sumbangan ini sebagai satu rahmat besar Fatimah berkata, anak ketigahya baru baru ini menerima tawaran ke Maktab Rendah Sains Mara Lenggong di Perak.

“Suami cukup teruja dengan khabar gembira ini dan bersungguh untuk menghantar anak kami ke Lenggong nanti.

“Dengan kaki palsu baharu ini mudahlah kami menghantar anak ke sana nanti, ini rezeki berganda untuk kami” ujarnya yang tidak putus putus mengucapkan terima kasih kepada YADIM yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Bahagian Khidmat Bakti, Abdul Qaiyum Aris.

Menurutnya lagi, perniagaan pembersihan kediaman yang diceburinya  juga semakin bertambah baik, malah pihak jabatan Agama Islam Selangor kini juga tidak lagi mengkategorikannya sebagai asnaf.

“Alhamdulillah, benar jika kita bersyukur, Allah akan tambah rezeki kita,” ujarnya.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *