Home » Langit Terbuka » Institusi perbankan Islam kena adil tentu kadar keuntungan kepada pelanggan

Institusi perbankan Islam kena adil tentu kadar keuntungan kepada pelanggan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, dalam menangani impak pandemik, nilai-nilai murni yang selaras dengan tuntutan syarak penting bagi kerajaan. - Foto Utusan Digital

KUALA LUMPUR – Institusi perbankan Islam diingatkan supaya bersikap adil dan prihatin dalam berurusan dengan pelanggan dan dalam perihal penentuan kadar keuntungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia perlu dalam kejadaan semua pihak terkesan dengan penularan pandemik.

“Misalnya, institusi perbankan Islam tidak dibenarkan mengambil kira keuntungan terakru bagi pembiayaan sedia ada dalam penentuan amaun prinsipal yang baharu bagi pembiayaan yang distruktur atau dijadual semula.

“Semua ini bertujuan meringankan bebanan yang dihadapi oleh pelanggan dan rakyat yang terkesan berikutan wabak Covid-19,” katanya dalam ucaptama Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2021 kali ke 14 anjuran Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2021 secara maya pada 11 Mac.

Beliau juga menekankan konsep Maqasid Syariah boleh digunakan sebagai asas pertimbangan bagi beberapa keputusan oleh kerajaan termasuk berkaitan Covid-19.

Zulkifli berkata, dalam menangani impak pandemik, nilai-nilai murni yang selaras dengan tuntutan syarak penting bagi kerajaan.

Ia bertepatan dengan mengambil langkah mencapai tuntutan maqasid Syariah yang menekankan kesejahteraan agama, kehidupan, akal, keturunan dan juga harta.

Zulkifli  berkata, usaha kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 di negata ini juga melibatkan jumlah dana yang luar biasa.

Jelasnya, usaha itu jelas mendatangkan tekanan ke atas kedudukan kewangan kerajaan.

“Bajet 2021 kerajaan Malaysia adalah juga yang tertinggi dengan harapan dapat memberikan kebaikan dan keselesaan yang terbaik untuk rakyat dan merancakkan pemulihan ekonomi negara.

“Dalam masa yang sama bagi membolehkan penglibatan ummah dalam membantu pemulihan dan pembangunan semula ekonomi negara, beberapa negara telahpun menerbitkan sukuk impak sosial berasaskan runcit (retail- based social impact sukuk),” katanya.

Penularan Covid-19 kata Zulkifli turut merencatkan perdagangan merentas sempadan dan aktiviti ekonomi serta perniagaan.

Malah pandemik juga turut menjejaskan punca pendapatan pelbagai pihak dan industri dalam dan luar negara.

Beliau berkata institusi kewangan Islam bersama dengan cendekiawan syariah perlu mempunyai peranan utama dalam menyumbang pelbagai agenda dan kaedah dengan penuh bermakna bagi menjayakan proses pemulihan pandemik.

“Kewangan Islam perlu memastikan perkhidmatan kewangan menambah nilai dan menghasilkan impak positif kepada ekonomi dan kemaslahatan masyarakat secara amnya dalam memenuhi tuntutan Islam dan sudah tentu prinsip-prinsip Syariah Islam terpakai utk disuburkan dan dilaksanakan,” katanya lagi.

Justeru itu, di dalam Belanjawan 2021, kerajaan telah menzahirkan komitmen untuk memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Antaranya Pelan Induk Wakaf Nasional dan Tabung Musaadah Covid 1.0 dan 2.0 berjumlah RM363.5 juta. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *