Home » Langit Terbuka » Islam untuk semua, jangan ikut kaca mata Melayu sahaja

Islam untuk semua, jangan ikut kaca mata Melayu sahaja

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) bertegas Islam tidak boleh dilihat sebagai perlambangan kaum kerana ianya diturunkan untuk semua kaum dan bangsa

PUTRAJAYA – Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa penyataan Islam yang inklusif dan membidas acuan berasaskan kaum kerana ia menafikan sifat sejagat agama itu.

Beliau bertegas Islam tidak boleh dilihat sebagai perlambangan kaum kerana ianya diturunkan untuk semua kaum dan bangsa.

“Maka, adalah satu kezaliman bagi kita untuk mempamerkan Islam melalui tafsiran menurut kaca mata orang Melayu sahaja, sedangkan Islam itu agama yang ekslusif untuk semua,” katanya di seminar Fiqh Realiti di Malaysia di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Mujahid berkata menuju ke depan masyarakat Islam di Malaysia hanya ada 2 pilihan iaitu meneruskan hidup dalam kemajuan dan perpaduan atau kekal dalam kejumudan dan perpecahan.

“Sama ada kita mahu menerajui masyarakat untuk mencapai aspirasi ‘rahmatan lil alamin’ berdasarkan ‘maqasid syariah’ tanpa mengira bangsa dan agama, ataupun kita kekal dalam kejumudan dan negara terus mundur dengan rakyatnya yang berpecah belah mengikut polarisasi kaum,” katanya.

Mujahid diundang untuk berucap mengenai cabaran menegakkan syariat Islam dalam realiti negara hari ini, terutama melibatkan kepelbagaian kaum dan kepercayaan.

Turut hadir Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan presiden kumpulan pendakwah, Multawa Asatizah dan Du’at, Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Mujahid mengingatkan dia tidak maksudkan perkara-perkara yang bersifat tetap. “Banyak perkara tidak boleh berubah, solat contohnya. Sakit ke sihat, kena solat. Itu tetap”.

“Tetapi terdapat banyak hukum lain yang berkait rapat dengan keadaan manusia yang mungkin berubah mengikut keadaan semasa,” katanya. – FreeMalaysiaToday

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *