Home » Citra Yadim » Isu Halal tarik perhatian bukan Islam

Isu Halal tarik perhatian bukan Islam

JOHOR BAHRU 9 Mei – Persoalan halal tidak sahaja penting bagi orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam yang begitu berminat mengetahui konsep halal itu sendiri terutama dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Pengurus Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Selatan, Muhamad Ammar Abdullah berkata, hal ini kerana dalam Islam konsep halal itu bukanlah di dalam aspek pemakanan sahaja malahan dalam erti kata yang lebih luas lagi.

“Dengan sebab itulah persoalan ini perlu dijelaskan kepada rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam untuk mereka memahami apakah itu halal,’’ katanya.

Pada 6 Mei lalu, YADIM dengan kerjasama bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Persatuan Cina Muslim (MACMA) Negeri Johor, PERKIM Johor dan Kolej Universiti Selatan telah menganjurkan program Sembang Dakwah Semasa : Apa Itu Halal bertempat di Kolej Universiti Selatan, di sini.

Muhamad Ammar berkata, program ini antara lain bertujuan memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia tentang konsep halal dan mengapa ia amat dititik-beratkan oleh agama Islam.

“Pada keseluruhannya program ini memberi pendedahan kepada mahasiswa bukan Muslim  tentang Islam meliputi dua tajuk iaitu apa itu halal dan perayaan orang Islam,’’ katanya.

Beliau berkata, program berkenaan telah mendapat sambutan yang begitu baik daripada golongan mahasiswa dengan dianggarkan seramai 300 peserta hadir terdiri daripada pelajar-pelajar Kolej Universiti Selatan.

Katanya, ceramah yang disampaikan dalam bahasa Mandarin itu disampaikan oleh tiga penceramah iaitu

Pensyarah Brianybunch International Islamic Montessori School, Sarah Cui, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr. Jay Suman dan  Pensyarah Kanan UTM Skudai, Prof Madya Dr. Fatin Aliah Phang Binti Abdullah.

“Tajuk yang disampaikan telah ternyata menarik minat para pelajar berkenaan dan mereka telah menunjukkan minat yang mendalam untuk memahami konsep halal dalam Islam berdasarkan soalan-soalan yang telah diajukan kepada ahli panel,’’ katanya.

Beliau berkata, berdasarkan sambutan yang begitu baik itu, YADIM Zon Selatan merancang untuk menganjurkan program-program seumpama itu dengan melibatkan masyarakat bukan Islam.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *