Home » Langit Terbuka » Isu kalimah Allah sudah diputuskan sejak 1986 – PM

Isu kalimah Allah sudah diputuskan sejak 1986 – PM

Rembau: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penggunaan kalimah Allah sudah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan sejak 1986.

Perdana Menteri berkata, penggunaan nama Allah itu memang digunakan untuk masyarakat Islam dan kitab-kitab orang Islam dan tidak boleh bagi orang bukan Islam.

“Tetapi untuk Sabah dan Sarawak, diputuskan ia membolehkan, itu keputusan sejak 1986 yang diperakui dan diperkenankan oleh Raja-Raja.

“Sebab itu dalam mesyuarat jemaah menteri, saya sendiri menghubungi Yang di-Pertuan Agong bahawa jemaah menteri membuat keputusan memperakui dan memperkenankan yang (sedia) ada, tidak ubah (keputusan itu).

“Tetapi jika hendak memperkemaskan lagi supaya tidak timbul pertikaian di mahkamah dan sebagainya, kita akan usulkan beberapa cadangan memperkemaskan keputusan itu, maka Yang di-Pertuan Agong perkenan dan kita akan bawa untuk pertimbangan dan perkenan Raja-Raja Melayu,” katanya pada lawatan singkat meninjau lokasi kebakaran bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Hassan Sail Pedas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Perdana Menteri berkata, sepatutnya isu kalimah Allah tidak perlu dibangkitkan.

Beliau berkata, soal kerajaan tidak membuat rayuan itu adalah berkaitan dengan Sarawak.

“Kalau dah tahu (kerajaan) kalah, macam mana nak rayu, apakah ini bermakna kita mengaku kalah..tidak, sebab keputusan tidak boleh menukar dasar yang ditetapkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia menerima pandangan tetapi jangan cuba menabur fitnah, sebaliknya harus menggunakan fakta seperti mana diputuskan dalam jemaah menteri iaitu tiada pertukaran sama sekali.

Beliau menegaskan hanya Sabah dan Sarawak diberikan kelonggaran bagi penggunaan kalimah berkenaan.

“Kita nak bawa mahkamah tapi tahu memang tiada kes untuk menang, tak cerdiklah nama tu.. tapi kita nak tunjuk kita harus tegas dan tidak bertolak ansur kerana kita Islam..Islam pun guna fakta, guna dasar keputusan.

“Ini bukan keputusan saya, tapi keputusan raja-raja dan keputusan kerajaan dari dulu termasuk semasa dari parti-parti lain yang memerintah, dua tiga tahun yang lalu..dia tak ubah pun, tiada perubahan sama sekali, jadi (adakah) kita harus dikecam kerana tidak bertegas,” katanya. – Harian Metro

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *