Home » Langit Terbuka » Jabatan Kehakiman Syariah tangguh perkhidmatan di beberapa negeri hingga Jumaat ini

Jabatan Kehakiman Syariah tangguh perkhidmatan di beberapa negeri hingga Jumaat ini

Penangguhan itu dibuat susulan ada kontak rapat beberapa pegawai syariah yang terlibat pada Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 baru baru ini. - Foto TPR

PUTRAJAYA – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menangguhkan perkhidmatan dan operasi di beberapa negeri termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh serta pendaftaran kes melibatkan orang awam, bermula hari ini (7 Oktober) hingga Jumaat.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) yang terlibat ialah Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, JKSN Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak kecuali Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak serta Mahkamah Syariah Daerah Sibu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat susulan ada kontak rapat beberapa pegawai syariah yang terlibat pada Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) 2020.

“Perkhidmatan dan operasi di JKSN Pahang, Kedah, Perlis, Johor, Kelantan dan Makhamah Syariah Melaka pula berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Na’im yang juga ketua hakim syarie JKSM berkata pengurusan kes rayuan yang melibatkannya juga ditangguhkan sementara sehingga keputusan rasmi saringan Covid-19 diperoleh daripada Kementerian Kesihatan.

Beliau juga berkata semua program latihan, muzakarah dan bengkel yang melibatkan JKSM di mana-mana tempat yang melibatkan kehadiran secara fizikal ditangguhkan hingga 31 Oktober ini.

Selaras pengumuman kerajaan mengenai sekatan rentas negeri di Sabah, beliau berkata kes rayuan di JKSN Sabah yang melibatkan panel rayuan JKSM bermula 12 Oktober ini juga ditangguhkan. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *