Home » Langit Terbuka » JAIM rampas 500 alas kaki ada ayat al-Quran

JAIM rampas 500 alas kaki ada ayat al-Quran

MELAKA 1 Dis. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) merampas kira-kira 500 helai alas kaki dilapisi kertas tertera ayat-ayat al-Quran dalam serbuan di sebuah gudang pembekal alat keperluan rumah di Krubong di sini, hari ini.

Serbuan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran JAIM serta polis itu dibuat selepas sekeping gambar alas kaki mengandungi ayat al-Quran yang dimuat turun di laman sosial Facebook oleh seorang pengguna, minggu lalu menjadi viral.

Ketua Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, serbuan juga dilakukan susulan viral sama di Johor selain golongan peniaga mendakwa mendapat bekalan tersebut daripada pembekal di negeri ini.

“Kejadian alas kaki mengandungi ayat suci al-Quran mula viral di Johor pada Februari lalu yang dikatakan diperoleh daripada pembekal di sini, namun apabila pemeriksaan dilakukan, kami tidak menjumpai barang-barang tersebut.

“Bagaimanapun, serbuan di sebuah gedung pembekal pada hari ini membawa kepada pe­nemuan kira-kira 500 alas kaki yang dikesan mengandungi lapisan kertas tertera ayat suci al-Quran termasuk hadis dan doa-doa harian,” katanya kepada pemberita selapas serbuan itu di Krubong di sini, hari ini.

Rahimin menambah, kesemua alas kaki itu telah diasingkan oleh pengusaha syarikat tersebut selepas kejadian viral berkenaan.

Menurutnya, pembekal terbabit mendapat bekalan alas kaki tersebut dari Semarang Tengah, Indonesia sebelum diedarkan kepada pasar raya di negeri ini.

“Kita percaya pihak pembekal di Indonesia telah menggunakan buku-buku teks sekolah terpakai untuk dijadikan lapisan bahagian dalam alas kaki ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kesemua alas kaki tersebut disita bagi membantu siasatan sebelum dilupuskan.

Dalam pada itu, Rahimin turut meminta pengguna yang telah membeli atau mengesan penggunaan kertas mengandungi ayat suci al-Quran pada alas kaki agar menyerahkannya kepada JAIM atau mana-mana pejabat agama daerah.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka kerana menghina agama serta Seksyen 7 Akta Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menggemparkan fikiran orang ramai.

-https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *