Home » Langit Terbuka » Jakim nafi permohonan sijil halal lambat, mahal, susah

Jakim nafi permohonan sijil halal lambat, mahal, susah

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim., - Foto NSTP

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama beberapa agensi pembimbing telah mengorak langkah proaktif bagi membantu industri mikro memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, program pembangunan industri mikro bersama agensi pembimbing pada tahun 2017 telah membuahkan hasil yang memberansangkan di mana 75 pengusaha mikro di bawah naungan RISDA telah berjaya mendapat SPHM.

Beliau berkata, inisiatif itu telah diperluaskan bersama agensi-agensi pembimbing yang lain dari masa ke semasa.

“Peningkatan bilangan industri mikro bumiputera yang mendapat SPHM juga telah menampakkan peningkatan yang positif,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau pada 2 Julai.

Menurut Mohamad Nordin, pada tahun 2017, sebanyak 214 industri kecil sederhana Bumiputera telah mendapat SPHM, manakala 2018 sebanyak 231.

Sementara industri mikro Bumiputera yang mendapat SPHM pula adalah sebanyak 1,501 pada 2017 dan 1,659 tahun lalu.

“SPHM dilaksanakan berdasarkan standard yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia berlandaskan Akta Standard Malaysia (Akta 549) 1996 dan menepati piawaian International Organization for Standardization (ISO),” jelasnya.

Tambah Mohamad Nordin, SPHM dilaksanakan berdasarkan skim pensijilan serta Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa.

“ Integriti Pensijilan Halal Malaysia yang merangkumi aspek ketulenan, kebersihan, kualiti dan juga keselamatan adalah menjadi tunjang di dalam menjamin produk dan perkhidmatan yang dipersijilkan bukan sahaja halal, malah ia mencakupi aspek Halalan Toyyiban yang dianjurkan oleh Syariat Islam.

“Dengan kata lain pematuhan halal dan tayyib mengambil kira semua faktor dan meliputi seluruh aspek rantaian pengeluaran (supply chain) sesuatu produk,” kata beliau.

Mengenai paradigma lama kalangan industri dalam permohonan mendapatkan SPHM, beliau berkata, tiga isu dibangkitkan ialah proses lambat, mahal dan susah.

Jelasnya, ia melibatkan kesediaan industri atau pemohon itu sendiri dalam memahami standard dan skim pensijilan yang telah dibangunkan.

“Selain itu, sikap pengusaha atau pemohon yang menggunakan khidmat orang tengah yang mengenakan caj agak tinggi, dan mengambil jalan mudah tanpa mahu membuat penambah baikan di dalam proses pengeluaran produk agar ianya menepati konsep halalan toyyiban,” jelasnya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *