Home » Langit Terbuka » JAKIM usaha tarik lebih ramai usahawan Bumiputera miliki sijil halal

JAKIM usaha tarik lebih ramai usahawan Bumiputera miliki sijil halal

Sijil Halal; Foto - SelangorKini

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan beberapa langkah untuk menarik lebih ramai usahawan Bumiputera memohon pensijilan halal daripada badan itu.

Ia susulan pendedahan JAKIM sebelum ini bahawa 72 peratus daripada keseluruhan 229,204 produk yang mempunyai sijil halal di negara ini dimiliki syarikat bukan Islam dari 2021 hingga 10 April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata JAKIM melalui Bahagian Halal baru-baru ini mengadakan program ‘Halal On Track’ iaitu program turun padang untuk bertemu usahawan, selain membangunkan aplikasi ‘e-Bimbingan’ bagi membantu mereka mengemukakan sijil halal.

“Melalui program ini, kita harap lebih ramai usahawan Bumiputera memohon sijil halal.

“Saya tidak nampak isu kos tinggi menjadi kekangan dalam konteks permohonan sijil halal ini dan perkara itu boleh dibincangkan.

“Ia mungkin disebabkan kesedaran atau kefahaman untuk keperluan mendapatkan sijil halal ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai punca usahawan Bumiputera tidak memohon sijil halal bagi produk mereka.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) sama ada kerajaan bercadang menambah kakitangan di Bahagian Halal termasuk mewujudkan skim khas perjawatan kerana hanya terdapat 171 kakitangan buat masa ini, Mohd Nai’im berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara itu.

Katanya, ia bagi memastikan graduan khusus dalam bidang kimia dan syariah di universiti diberi peluang untuk berkhidmat dalam pengurusan halal di bawah JAKIM.

“Kita harap supaya dapat mewujudkan satu skim khusus, jadi mereka yang terlatih dalam bidang ini dapat ditempatkan secara tetap di Bahagian Halal,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *