Home » Persuasif » Jangan Biarkan Hati Anda ‘DiGodam’

Jangan Biarkan Hati Anda ‘DiGodam’

KUALA LUMPUR – Jika anda tertarik dengan tawaran ‘indah’ di laman sosial seperti pekerjaan bergaji tinggi, hadiah lumayan atau mesej peribadi dari lelaki tampan dan kaya yang mahu menumpang kasih sayang, awas! Hati anda sedang ‘digodam’.

Sebagai netizen yang menggunakan laman sosial, anda perlu bijaksana agar tidak tergolong dalam ribuan netizen yang menjadi mangsa penipuan siber saban tahun.

Statistik Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT) di bawah Cyber Security Malaysia (CSM) menunjukkan aduan insiden penipuan siber adalah yang tertinggi diterima saban tahun berbanding jenayah siber lain, yang menunjukkan tahap kesedaran pengguna internet di negara ini masih rendah.

Sepanjang Januari hingga Julai 2019, sebanyak 3,127 kes penipuan siber diadukan kepada myCERT. Statistik sejak 2008 juga menunjukkan aduan penipuan siber adalah yang tertinggi setiap tahun berbanding jenayah siber lain.

Sepanjang tahun 2018, penipuan siber menjadi jenis jenayah siber tertinggi yang dilaporkan kepada MyCERT iaitu 5,123 aduan selain pencerobohan sebanyak 1,805 dan kod jahat sebanyak 1,700 aduan.

Elak Berkongsi Perasaan

Antara jenis aduan penipuan siber yang diterima ialah memancing data (phishing), penipuan pekerjaan, ‘Nigerian scam’, penipuan loteri dan penipuan dalam talian termasuk urus niaga jual beli barangan.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata sebagai pengguna internet, netizen boleh mengambil beberapa langkah untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan siber termasuk ‘love scam’ (penipuan cinta).

“Jangan mengemas kini status yang menunjukkan anda dalam kesunyian, sedang mencari pasangan hidup, terdesak untuk memiliki seseorang atau seumpamanya kerana status sebegini boleh menarik perhatian penjenayah siber.

“Percaya atau tidak, pasukan penjenayah siber dilatih secara terancang termasuk mengkaji psikologi manusia. Mereka sebenarnya melaksanakan ‘kejuruteraan kemanusiaan’ ke atas netizen.

“Sebagai netizen, cuba elak berkongsi terlalu banyak tentang perasaan anda di media sosial…ya, berkongsi itu tanda sayang tetapi berkongsi secara berlebihan adalah perbuatan yang kurang berhati-hati,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mereka juga dinasihatkan supaya jangan terlalu mudah menerima permohonan untuk menjadi rakan di media sosial sebaliknya memastikan dahulu sama ada akaun berkenaan benar atau palsu.

Sentiasa Ragui Perkara Indah

Selain itu, Amirudin menasihatkan netizen supaya tidak terpedaya dengan sebarang pujian dan pujuk rayu rakan media sosial.

“Jangan mudah percaya dengan sebarang tawaran (antaranya pemberian hadiah, bunga, coklat dan lain-lain).

“Timbulkan perasaan ragu dan syak khususnya kepada pernyataan seolah-olah dia berkedudukan, berpangkat, baru mendapat pekerjaan, berharta dan lain-lain (yang kelihatan terlalu indah),” katanya.

Sekiranya ada sebarang komunikasi melibatkan wang, netizen perlu lebih berhati-hati dengan keadaan itu kerana pelaku penipuan sedang mula memasuki fasa bagi mencapai objektif utama mereka iaitu mendapatkan wang secara mudah dengan menipu.

Amirudin berkata langkah itu boleh mengelak netizen daripada terjebak dengan jenayah penipuan siber yang melibatkan kerugian bernilai ratusan ribu ringgit setiap tahun.

Elak Ditipu Dalam Talian

Kes penipuan jual beli barangan menerusi platform dalam talian juga antara yang banyak dilaporkan.

Terdapat amalan terbaik bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan jual beli dalam talian termasuk memastikan laman sesawang perniagaan dalam talian boleh dipercayai dan memiliki reputasi yang baik.

Pengguna juga perlu memastikan kemudahan pembayaran adalah selamat dan memiliki ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa atau tempatan.

Selain itu, pengguna digalakkan melaksanakan pembelian secara tunai dan menyimpan semua rekod perbualan serta transaksi kewangan yang terlibat serta mengelak membayar wang pendahuluan.

Mereka juga perlu sentiasa merujuk testimoni atau maklum balas pembeli berkaitan peniaga atau perkhidmatan yang diberi dengan mengenal pasti peniaga yang menawarkan tawaran mencurigakan, menyimpan dan menyemak nombor pengesanan yang diberikan peniaga.

Aduan Ke CYBER999

Jika berasa diri anda menjadi mangsa jenayah siber, anda boleh membuat aduan kepada Pusat Bantuan CYBER999.

Aduan boleh dilaporkan melalui borang dalam talian, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon, faksimili, memuat turun Aplikasi Mudah Alih ‘CYBER999’ atau datang sendiri ke CSM.

Pusat itu akan membuat laporan, siasatan teknikal dan analisis berdasarkan insiden yang dilaporkan oleh pengguna Internet.

Semua aduan berkaitan jenayah siber juga boleh diadukan ke talian 1-300-88-2999, faks (03-80087000), talian kecemasan mudah alih 24 jam (019-2665850) atau SMS ke CYBER999 REPORT dan hantar ke 15888 serta e-mel ke cyber999@cybersecurity.my. Perkhidmatan itu adalah percuma. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *