Home » Langit Terbuka » Jangan jadikan masjid tempat tanam politik kebencian

Jangan jadikan masjid tempat tanam politik kebencian

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, masjid perlu bebas daripada politik kepartian dan pengaruh yang boleh memecahbelahkan umat Islam. - Foto JAKIM

PARIT BUNTAR – Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menjadikan masjid sebagai tempat untuk menanamkan politik kebencian pada bulan Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata ia perlu bagi memastikan masjid bebas daripada politik kepartian dan pengaruh yang boleh memecahbelahkan umat Islam serta memburukkan kerajaan.

“Tindakan dengan melabelkan seseorang itu sesat, kafir mengkafirkan akan kita tangani dengan tegas dan keras kerana mesjid perlu bebas daripada fahaman politik kepartian.

“Bulan Ramadan ini, kita hentikan mulut kita dengan tidak memfitnah kerana pembohongan boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti fitnah dan mengadu-domba dan memecahbelah keluarga dan semua itu perlu dihentikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jom Sambut Ramadan di pekarangan Masjid Daerah Kerian di sini.

Di peringkat negeri ini, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengeluarkan pekeliling agar masjid dan surau tidak mengadakan tazkirah pada bulan Ramadan ini.

Mujahid, yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata, fitnah yang menyatakan kerajaan hari ini tidak mempertahankan Islam adalah perbuatan yang boleh menjejaskan usaha baik kerajaan dalam memartabatkan Islam di negara ini.

“Kerajaan juga sudah mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap mereka yang menghina kedaulatan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita sudah ambil tindakan dalam kes ´posting´ menghina raja dan kes mufti kena ugut. Kita dah tangkap. Mana yang kata kita tak ambil tindakan, soal lambat atau tidak itu bergantung kepada tindakan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata kerajaan telah menambahkan peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion.

“Adakah yang saya buat ini bercanggah dan saya juga membuka ruang untuk orang mengkritik saya tetapi mereka juga hendaklah memberi ruang kepada saya untuk menjawab kritikan berasaskan fakta dan bukan emosi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah memberikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada 30 buah masjid di sekitar daerah Kerian dengan setiap sebuah masjid menerima RM1,000 bagi program moreh atau berbuka puasa pada bulan Ramadan. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *