Home » Langit Terbuka » Jangan percaya propaganda tidak benar mengenai vaksin

Jangan percaya propaganda tidak benar mengenai vaksin

Vaksin Malaysia
Ketua Pengarah Kesihatan berkata, terdapat golongan serta individu yang secara terang-terangan mempengaruhi orang awam untuk menolak vaksin dengan fahaman yang salah melalui penyebaran maklumat tidak sahih. - Foto Hello Sihat

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menggesa ibu bapa supaya mematuhi Jadual Imunisasi Kebangsaan dan tidak mempercayai propaganda tidak benar mengenai keburukan vaksin seperti digembar-gemburkan di media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya mengakui menerima banyak maklumat tidak sahih berkaitan dengan vaksin di laman media sosial.

Malah, beliau berkata terdapat golongan serta individu yang secara terang-terangan mempengaruhi orang awam untuk menolak vaksin dengan fahaman yang salah melalui penyebaran maklumat tidak sahih.

“Kebanyakan maklumat tidak sahih mengenai vaksin digembar-gemburkan oleh mereka yang taksub dengan dakwaan bahawa vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak memberi manfaat dan menimbulkan banyak kesan buruk.

“Pada hakikatnya, dakwaan itu tidak tepat sama sekali. Kementerian sentiasa memantau penyebaran fahaman yang salah terutama di media sosial oleh individu tertentu yang menentang vaksin demi menarik lebih ramai ibu bapa menyertai kumpulan mereka.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab golongan ini menyebabkan usaha kementerian berdepan dengan rintangan dan kesannya adalah peningkatan kes penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hasil pemantauan mendapati wujud ibu bapa yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka selepas terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan.

Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes penolakan vaksin yang direkodkan di klinik kerajaan terus meningkat iaitu daripada 637 kes pada 2013 kepada 1,603 kes pada 2016.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat sedikit penurunan kes penolakan vaksin pada 2017 iaitu kepada 1,404 kes berikutan usaha advokasi yang dijalankan oleh kementerian secara meluas bersama pelbagai pihak awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta sukarelawan kumpulan media sosial perubatan.

“Jika penolakan vaksin ini berterusan, kemungkinan penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat dan usaha kerajaan dalam mengukuhkan Program Imunisasi Kebangsaan dan usaha advokasi bagi mencegah penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin selama ini menjadi sia-sia,” katanya.

Katanya, penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin meningkat di negara ini, di mana kes demam campak (measles) meningkat daripada 195 kes pada 2013 kepada 1,934 kes pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 891.8 peratus bagi tempoh lima tahun.

Selain itu, beliau berkata bilangan kes demam campak yang tiada imunisasi juga meningkat daripada 125 kes (68.7 peratus) pada 2013 kepada 1,467 kes (75.9 peratus) pada 2018.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak enam kematian demam campak direkodkan tahun lalu di mana semua kes tiada imunisasi, lima kematian difteria di mana empat kes tiada imunisasi, manakala 22 kematian batuk kokol (pertussis), di mana 19 kes tiada imunisasi.

“Pemberian imunisasi boleh mencegah penyakit-penyakit ini dan mengurangkan komplikasi yang boleh membawa kematian. Pada ketika ini, Program Imunisasi Kebangsaan mampu untuk mencegah 12 jenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu.

“Ia diberikan secara percuma kepada bayi dan kanak-kanak warganegara di klinik kerajaan sejak 1950-an.

“Dengan program imunisasi dan peningkatan capaian perkhidmatan kesihatan, Malaysia berjaya menurunkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak 85 peratus bagi tempoh 1970 hingga 2017, daripada 55.9 kematian bagi setiap 1000 kelahiran hidup kepada hanya 8.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup,” katanya.

Beliau berkata, imunisasi juga berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini, malah ia sudah dibasmi sepenuhnya di Malaysia. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *