Home » Citra Yadim » KUIM cadang anjur seminar antarabangsa bersama YADIM

KUIM cadang anjur seminar antarabangsa bersama YADIM

Kedua pihak bertukar cenderamata
Zolkharnain (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Asnul Dahar (tiga dari kanan) selepas tamat sesi taklimat

PUTRAJAYA – Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), berhasrat menjadikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai rakan strategik menerusi penganjuran program-program yang berkaitan dengan bidang dakwah.

Terbaharu, KUIM bercadang bekerjasama dengan YADIM menganjurkan sebuah seminar bertaraf antarabangsa yang dijadualkan berlangsung Ogos ini.

Pengarah Institut Kajian Dakwah Nusantara (IKAD) KUIM, Yang Berusaha Muhd Norazam bin Nordin berkata Seminar Antarabangsa Pengajian Islam 2019 (ICoS 2019) tersebut akan membawakan tema ‘Islam Rahmat Sekalian Alam’ selaras dengan dasar yang cuba diterapkan oleh kerajaan kepada masyarakat ketika ini.

“Sebelum ini kita faham ada banyak seminar di Institusi pengajian tinggi yang menyentuh mengenai Islam Hadhari, Wasatiyah dan sebagainya. Jadi kita nak ambil peluang yang ada sekarang, khususnya di Melaka untuk anjurkan seminar berkaitan tajuk ini.

“Idea yang dibawa oleh Yang Berhormat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf (Rahmatan Lil Alamin) itu perlu dibawa kepada masyarakat” katanya dalam sesi taklimat semasa lawatan kerja dari KUIM ke YADIM hari ini.

Hadir sama dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan,Perundingan & Inovasi KUIM, YBhg. Prof.Madya Ts.Dr. Asnul Dahar bin Minghat selaku ketua delegasi, Timbalan Naib Canselor Pengurusan Korporat ( Pembangunan Fasiliti & Antarabangsa), YBhg. Tuan Haji Zamzuri bin Abdul Majid serta lapan pensyarah dan kakitangan KUIM.

YADIM diwakili oleh Timbalan Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, Pengurus Besar Operasi, Ustaz Khairrul Fuad Samsudin serta pengarah pengarah bahagiannya.

Dalam pada itu, menjelaskan lanjut mengenai seminar berkenaan, Muhd Norazam berkata, antara objektif program ini ialah mendalami pemikiran dan pendekatan tokoh sarjana Islam dalam bidang Pengajian Islam bagi memartabatkan dan membuktikan keintelektualan tokoh-tokoh sarjana Islam dulu dan kini.

“Selain itu, seminar ini nanti juga berhasrat menonjolkan kepimpinan tokoh-tokoh sarjana Islam dalam memberi sumbangan terhadap perkembangan ilmu-ilmu kontemporari.

“Ia juga bertujuan memperkenalkan inovasi-inovasi terkini dalam bidang Pengajian Islam serta menunjukkan terhasilnya inovasi tersebut adalah daripada inspirasi ilmuan Islam dan keintelektualan para sarjana Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan tema ‘Islam Rahmat Sekalian Alam’ ia kemudiannya dipecahkan kepada 11  sub tema untuk para penulis menyumbangkan artikel bagi menjayakan seminar berkenaan, iaitu Pengurusan Dan Pentadbiran Islam, Ketokohan Dan Kepimpinan Islam, Pengajian Al-Quran Dan Hadith, Kewangan Dan Perbankan serta Perundangan (Syariah Dan Sivil).

Seterusnya ialah Sejarah Dan Ketamadunan Islam, Pendidikan, Politik, Sains Dan Teknologi, Perubatan serta Dakwah.

ICoS 2019 katanya lagi, mensasarkan peserta dan pembentang yang terdiri daripada pemikir, penyelidik daripada ahli akademik dan para pendidik,wakil agensi kerajaan dan swasta, wakil badan bukan kerajaan, selain mahasiswa institusi pengajian tinggi dari Malaysia dan luar negara.

Muhd Norazam turut memaklumkan, seminar sehari itu nanti juga bercadang menjemput Yang Dipertua YADIM, Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abd Aziz untuk menyempurnakan perasmian penutupnya.

Zolkharnain dalam reaksinya berkata, secara dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan penganjuran seminar berkenaan.

Jelas beliau, YADIM bersedia memberi bantuan bagi menjayakan seminar berkenaan, terutama dari sudut tenaga kerja.

“Kami juga sedang dalam usaha yang gigih untuk memasyarakatkan YADIM, supaya masyarakat lebih sedar kewujudan organisasi ini,”katanya.

YADIM tambahnya sedia memberi komitmen padu untuk menjayakannya, kerana menurut beliau, ia secara langsung membantu memperkukuhkan dasar Rahmatan Lil Alamin yang mahu diterapkan kerajaan.

Sahabat YADIM yang mempunyai keanggotaan di KUIM akan turut dilibatkan dalam penganjuran ICoS 2019.

Untuk makluman, Sahabat YADIM KUIM sebelum ini telah berjaya menganjurkan Konvensyen Kebangsaan Sahabat YADIM pada 17 November 2018, sebuah program peringkat kebangsaan yang berjaya menghimpunkan kira kira 600 peserta dari seluruh negara .

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *